Berita

LPF Arahkan Peta Kontroversi Dalam Filem Animasi Abominable Dipotong

Views
Sumber gambar: www.sagisag.com

Filem animasi terbitan DreamWorks (US) & Pearl Studio (China), Abominable terpaksa melalui proses pemotongan babak terlebih dahulu sebelum ia dibenarkan untuk tayangan di Malaysia pada 7 November ini.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana Abominable memaparkan peta kontroversi yang melibatkan tuntutan wilayah China di Laut China Selatan.

“Filem animasi bertajuk ‘Abominable’ telah diberikan kelulusan untuk tayangan di Malaysia dengan syarat bahawa peta kontroversi dikeluarkan daripada filem itu.” ujar pengerusi LPF, Mohamad Zamberi Abdul Aziz dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 17 Oktober yang lalu.

Babak peta kontroversi itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di beberapa negara ASEAN. Abominable telahpun diharamkan oleh kerajaan Vietnam, manakala Filipina yang tidak mengamalkan undang-undang tapisan dan pengharaman filem, tidak menghalang tayangan filem Abominable di negara mereka, tetapi pihak kerajaan menyarankan kepada rakyat agar memboikot filem tersebut.

Konflik wilayah Laut China Selatan adalah masalah besar yang telah berlaku selama bertahun-tahun. Empat negara – Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam – dan Taiwan telah membantah keras tuntutan China di Laut China Selatan. Negara tersebut dilihat semakin agresif dalam menuntut wilayah yang dipertikaikan itu dengan membina pulau-pulau buatan dan meletakkan tentera serta pos-pos perindustrian di wilayah tersebut.

BACA:  Neelofa Dikritik Kayu Oleh Netizen Gara-Gara Lakonannya Dalam Drama Red Velvet

Filem arahan Jill Culton ini mengisahkan tentang sekumpulan pemuda merentasi 3000 batu dari Shanghai ke pergunungan ais Himalaya di mana mereka kemudian telah bertembung dengan Yeti yang masih muda. Mereka yang berasa kasihan dengannya telah mengambil keputusan untuk menyatukan kembali makhluk ajaib ini dengan keluarganya di gunung Everest.

Tinggalkan Balasan

shares