Berita baik buat peminat anime Naruto apabila mereka bakal mendapat filem live-action Hollywood siri anime berkenaan dengan pencipta anime tersebut, Masashi Kishimoto dikatakan turut terlibat secara langsung dalam projek terbaru ini.
Lionsgate yang mendapat hak untuk menghasilkan filem tersebut telah mengumumkan pembikinan projek filem ini beberapa hari yang lepas dan Pengarah Michael Gracey akan berkerjasama dengan Kishimoto dalam pembikinan filem adapatasi siri animasi popular Jepun.
Ini bukan pertama kali berita mengenai filem live action Naruto tersebar, tahun lepas, pihak Lionsgate dikatakan telah berbincang dengan Michael Gracey untuk menyertai mereka menghasilkan filem ini. Michael Gracey terkenal sebagai pengarah visual effect untuk filem Rocketman dan The Greatest Showman dan kemudiannya beralih kepada pengarah filem.
Walaupun berita pembikinan filem Naruto mengembirakan ramai peminat siri anime berkenaan, namun mereka menyuarakan kebimbangan akan kegagalan filem ini sepertimana berlaku pada filem Dragon Ball Evolution dan Avatar: The Last Airbender. Seperti yang ramai tahu, filem adaptasi anime versi Hollywood seringkali gagal dan dikritik penonton kerana plot filem yang kurang menarik, karakter yang berbeza dari siri anime dan mengarut.
Bagaimanapun, peminat masih berharap reputasi buruk filem yang diadaptasikan dari siri anime ini dapat dielakkan dan filem yang dihasilkan lebih menarik dan menepati ciri-ciri siri animasi berkenaan, lebih-lebih lagi penglibatan secara langsung Masashi Kishimoto dalam projek filem ini.
Ini merupakan animasi kedua yang diumumkan menjadi filem live-action dalam tahun 2016. Sebelum ini, siri anime Ghost in the Shell telah diumumkan bakal menjadi filem live-action.
Animasi Naruto mula ditayangkan pada tahun 2002 sehingga 2007 dan kemudian bersambung dengan siri Naruto: Shippuden yang ditayangkan sejak 2007 sehingga sekarang. Animasi Naruto juga memiliki 11 filem Animasi dengan filem terakhir bertajuk Boruto: Naruto the Movie
Info lanjut mengenai filem live-action ini akan kami bawakan dari semasa ke semasa