
Jurassic World Dominion membuat kejutan di box office domestik AS dan global dengan mengatasi pencabarnya, filem terbaru Disney/Pixar – Lightyear.
Filem terbaru Universal itu berjaya menguasai tempat teratas box office domestik AS untuk minggu kedua berturut-turut, dengan memperoleh kutipan sebanyak AS$68 juta dolar pada minggu lalu. Ini menjadikan jumlah terkumpul Jurassic World Dominion sebanyak AS$ 259.1 juta dolar setakat ini.
Lightyear bagaimanapun gagal menepati ramalan apabila hanya mengaut AS$55 juta pada minggu pertama tayangannya. Prestasi box office filem animasi terbaru Disney/Pixar itu dijangka bergelut pada minggu kedua dan seterusnya memandangkan filem animasi Minions semakin hampir untuk ditayangkan (iaitu pada 1 Julai), diikuti Thor: Love and Thunder pada 8 Julai dan Paws of Fury pada 15 Julai.
Sementara di pasaran antarabangsa, Lightyear – yang telah diharamkan di beberapa negara Timur Tengah dan Asia – hanya mengutip AS$34.6 juta dari 43 pasaran luar negara, menjadikan jumlah terkumpul seluruh dunia sebanyak AS$85.6 juta pada minggu pertama.
Jurassic World sebaliknya, menambah AS$76.1 juta di pasaran antarabangsa, dan kini jumlah terkumpulnya mencecah AS$622.2 juta seluruh dunia. China menjadi penyumbang terbesar di pasaran antarabangsa dengan kutipan AS$24 juta.
Akhir sekali, filem terbaru Tom Cruise, Top Gun: Maverick telah menambah kutipan sebanyak AS$48 juta pada minggu keempat tayangannya di pasaran AS. Di seluruh dunia, filem itu telah mengumpul lebih AS$800 juta, sekaligus menjadi filem terbesar Tom Cruise di seluruh dunia.