
Menurut Deadline, pemenang Oscar Leonardo DiCaprio sedang dalam rundingan akhir untuk memainkan peranan utama dalam filem biopik bertajuk Jim Jones terbitan MGM. DiCaprio akan memainkan watak utama sebagai ketua kultus, yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai lebih 900 orang daripada pertubuhan agamanya.
Filem biopik itu akan ditulis oleh Scott Rosenberg (Venom) dengan DiCaprio dan Jennifer Davisson sebagai penerbit.
Pada tahun 1955, Jones mengasaskan Peoples Temple di Indianapolis, di mana dia mempromosikan Sosialisme Kristian. Menjelang 1970-an, dia menjadi lebih terkenal selepas secara terbuka menolak agama Kristian tradisional dan bahkan telah mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan.
Dia kemudiannya membina sebuah komuniti kecil di Guyana bernama Jonestown, di mana dia meyakinkan pengikutnya untuk tinggal di sana bersamanya, membawa mereka ke syurga sosialis yang akan bebas daripada penindasan kerajaan AS.
Walau bagaimanapun, menjelang akhir 1970-an, terdapat laporan mengenai pencabulan hak asasi manusia dalam komuniti Jonestown, yang mendorong kerajaan Amerika menghantar delegasi yang diketuai oleh Wakil A.S. Leo Ryan untuk menyiasat dakwaan itu. Malangnya, mereka dibunuh oleh pengikut Jones, yang diarahkan oleh Jones untuk menembak mereka.
Selepas itu, satu lagi tragedi berlaku apabila Jones mengarahkan pengikutnya untuk membunuh diri beramai-ramai pada 18 November 1978, yang membawa kepada kematian 918 anggota komuniti, 304 daripadanya adalah kanak-kanak, yang disebabkan keracunan sianida.
DiCaprio terkenal dengan persembahan hebatnya dalam beberapa filem drama seperti What’s What’s Eating Gilbert Grape, Titanic, Catch Me If You Can, The Aviator, Blood Diamond, Inception, The Departed, Revolutionary Road, The Wolf of Wall Street, dan The Revenant. Dia seterusnya akan dilihat dalam filem sci-fi komedi gelap Netflix bertajuk Don’t Look Up dan filem arahan Martin Scorsese, Killers of the Flower Moon untuk Apple Studios.