You are here Home » Len Wiseman Akan Mengarahkan Filem ‘Spin Off’ John Wick, “Ballerina”

Len Wiseman Akan Mengarahkan Filem ‘Spin Off’ John Wick, “Ballerina”

Selepas lebih dua tahun dirancang, akhirnya filem ‘spin off’ John Wick, Ballerina mula menunjukkan perkembangan positif. Menurut laporan dari laman Deadline, pengarah Len Wiseman telah dipilih untuk menduduki kerusi pengarahan filem spin off tersebut.

Wiseman yang sebelum ini pernah terlibat dalam projek filem Underworld dan Live Free or Die Hard, akan bekerjasama dengan Shay Hatten (John Wick: Parabellum) yang bertindak selaku penulis skrip.

Ballerina akan memberi fokus kepada pembunuh wanita yang ingin membalas dendam terhadap orang yang telah membunuh keluarganya.

Dalam filem John Wick: Chapter 3 – Parabellum yang lalu, karakter ballerina lakonan Unity Phelan telah ditunjukkan secara ringkas ketika John Wick pergi ke sebuah akademi tarian yang diuruskan oleh The Director lakonan Anjelica Huston. Setakat ini tidak diketahui sama ada Phelan akan meneruskan wataknya, ataupun penerbit filem akan memilih pelakon lain untuk mengalas watak utama.

Ballerina akan diterbitkan oleh penerbit filem John Wick, iaitu Basil Iwanyk dan Erica Lee. Turut bertindak selaku penerbit adalah Chad Stahelski dan bintang utama francais, Keanu Reeves.

BACA:  Benedict Cumberbatch Mungkin Calon James Bond Seterusnya?

Selain Ballerina, dunia sinematik John Wick turut dikembang menerusi rancangan televisyen The Continental yang akan berkisarkan tentang dunia pembunuh upahan disebalik hotel mewah The Continental. Namun, peminat mungkin terpaksa menunggu lama siaran televisyen tersebut kerana dilaporkan hanya mula disiarkan sebaik sahaja filem John Wick: Chapter 4 ditayangkan sekitar tahun 2021.

Setakat ini tarikh tayangan Ballerina masih belum ditetapkan oleh pihak studio.

Loading...