
Selepas meraih lebih RM1 juta pada tayangan awal, filem aksi tempatan terbaru Polis Evo 3 terus menunjukkan prestasi baik pada hari pertama tayangan rasminya.
Menerusi akaun Instagram peribadi, pengarah Polis Evo 3 , Syafiq Yusof, telah kongsikan kutipan terkini filem terbarunya itu iaitu sebanyak RM3.4 juta, pencapaian yang cukup baik memandangkan filem baru sahaja memulakan tayangan pertama semalam dan berhadapan dengan saingan beberapa filem blockbuster Hollywood.
Diarahkan oleh Syafiq Yusof, Polis Evo 3 menyaksikan kepulangan Shaheizy Sam dan Zizan Razak yang meneruskan peranan mereka sebagai Inspektor Khai dan Inspektor Sani. Mereka berdua turut disertai pelakon seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Fauzi Nawawi, Douglas Lim, Nora Danish dan Eyka Farhana.
“Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza,” menurut sinopsis.
“Sebuah letupan di Pulau Pinang yang telah membunuh ratusan mangsa termasuk seorang anggota polis kini dalam siasatan Inspektor Sani dan Khai. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.”
Polis Evo 3 kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan