
Walaupun dianggap antara filem superhero terbaik setakat ini, filem terbaru DC The Flash terus suram di box office negaranya sendiri.
Menurut Deadline, kutipan minggu kedua The Flash di pasaran domestik AS dijangka menjunam hingga ke tahap 75%, penurunan terbesar bagi mana-mana filem superhero yang pernah dihasilkan
Laman itu turut menyebut, The Flash mungkin hanya mengutip AS$14 juta (di pasaran domestik AS) menjelang hujung minggu ini, dan dijangka mengumpul AS$86 juta apabila memasuki minggu kedua tayangannya.
Untuk info, kutipan terkini filem itu adalah AS$72.3 juta di pasaran AS dan AS$99 juta di pasaran antarabangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak AS$172 juta setakat ini.
Kos pembikinan The Flash sekitar AS$200-220 juta, dan jika prestasi box office filem itu terus merundum, ia pasti memberi isyarat buruk kepada DC Studios dan Warner Bros.
“Barry Allen / The Flash mengembara ke masa lalu untuk menghalang pembunuhan ibunya, yang menyebabkan dia terperangkap dalam realiti alternatif tanpa metahuman,” menurut sinopsis.
Dia meminta bantuan Batman dan Supergirl daripada realiti alternatif untuk menyelamatkan dunia barunya itu daripada Jeneral Zod dan kembali ke alam semestanya”
The Flash menampilkan Ezra Miller yang kembali meneruskan peranannya sebagai Barry Allen/ The Flash. Watak Speedster itu pertama kali muncul dalam DCEU menerusi filem Batman v Superman: Dawn of Justice, Justice League dan Zack Snyder’s Justice League.
Menyertai Miller adalah Kiersey Clemons sebagai Iris West, Maribel Verdú sebagai Nora Allen, Sasha Calle sebagai Supergirl, dan Ron Livingston sebagai Henry Allen.
The Flash kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.