
Kutipan terkini Black Adam sudahpun mencecah AS$353 juta seluruh dunia, dengan AS$200 juta diraih di pasaran antarabangsa (via Box Office Mojo). Namun, adakah kutipan sebanyak itu sudah cukup untuk menjamin keuntungan filem komik superhero lakonan Dwayne Johnson itu?
Menurut The Wrap, walaupun Black Adam berjaya mengutip AS$353 juta seluruh dunia, ia masih belum cukup untuk memberi keuntungan. Dengan kos pembikinan sekitar AS$195 juta, laman itu menjelaskan bahawa walaupun kutipan box officer berakhir sekitar AS$400 juta, ia masih belum cukup untuk dianggap ‘untung’.
“Terdapat segelintir peminat Johnson yang akan hadir untuk apa sahaja filem yang dia bintangi, dan ini adalah sebab utama mengapa ‘Black Adam’ mencatatkan kutipan lebih kurang AS$50 juta pada minggu pembukaan box office,” ujar laman itu yang mendakwa populariti Johnson dikalangan peminat menjadi faktor utama prestasi baik Black Adam di box office.
“Apabila kutipan global mula merosot pada minggu-minggu berikutnya, di tengah-tengah keterujaan yang biasa-biasa, jangkauan Johnson dengan penonton umum mula berkurangan.”
TheWrap turut menjangkakan bahawa Black Adam mungkin menamatkan kutipan box office hanya lebih sedikit dari yang diraih Shazam! iaitu $365 juta.
Yang membezakan Black Adam dan Shazam! adalah kos pengeluaran dimana, Shazam! hanya mempunyai separuh bajet pembikinan berbanding Black Adam.
Kos yang tinggi dengan kutipan yang tidak mencapai tahap untung mungkin memberi kesan pada perancangan sekuel Black Adam, lebih-lebih lagi selepas kita melihat Warner Bros. mula membatalkan filem-filem yang tidak memberi keuntungan berikutan penggabungannya dengan Discovery.
Tayangan di China dan Rusia mungkin boleh membantu Black Adam mendapatkan pulangan modal, tetapi disebabkan beberapa isu, Black Adam terpaksa bergantung pada pasaran-pasaran lain untuk sekurang-kurang cuba mendapatkan kutipan AS$400 juta.