
Sepanjang 68 hari tayangan, filem superhero DC The Flash hanya mampu mengutip AS$268 juta seluruh dunia, sekaligus menjadi salah satu filem superhero paling gagal yang pernah dihasilkan.
Lebih mendukacitakan, laporan terbaru nampaknya meletakkan The Flash ke tahap paling bawah dalam sejarah filem komik superhero.
Menurut laporan THR, kos pembikinan The Flash dilaporkan menghampir AS$300 juta (berkemungkinan tidak termasuk kos pemasaran). Dan jika laporan itu tepat, kos pembikinan The Flash hampir sama dengan filem paling mahal DCEU, Justice League, dan ia sudah tentunya menjadi filem paling gagal dari apa yang kita sangkakan.
Dengan prestasi box office lemah yang ditunjukkan The Flash serta beberapa filem DC sebelumnya, termasuklah kutipan pembukaan filem terbaru DC Blue Beetle yang kurang memberangsangkan, masalah utama DC sudah tentunya tertumpu pada jenama itu sendiri berbanding filem.
Walaupun memiliki ramai peminat, DC nampaknya gagal menarik kepercayaan peminat mereka untuk hadir menonton filem-filem terbaru DC.
“Barry Allen / The Flash mengembara ke masa lalu untuk menghalang pembunuhan ibunya, yang menyebabkan dia terperangkap dalam realiti alternatif tanpa metahuman,” menurut sinopsis.
Dia meminta bantuan Batman dan Supergirl daripada realiti alternatif untuk menyelamatkan dunia barunya itu daripada Jeneral Zod dan kembali ke alam semestanya”
The Flash menampilkan Ezra Miller yang kembali meneruskan peranannya sebagai Barry Allen/ The Flash. Watak Speedster itu pertama kali muncul dalam DCEU menerusi filem Batman v Superman: Dawn of Justice, Justice League dan Zack Snyder’s Justice League.
Menyertai Miller adalah Kiersey Clemons sebagai Iris West, Maribel Verdú sebagai Nora Allen, Sasha Calle sebagai Supergirl, dan Ron Livingston sebagai Henry Allen.