Filem epik lakonan Remy Ishak dan Puteri Aishah iaitu Pulang mempertaruhkan bajet yang begitu besar iaitu lebih RM6 juta. Berdasarkan laporan dari laman web mStar Online, kos pembikinan tersebut turut melibatkan kos kesan khas imej janaan komputer (CGI) yang mencecah RM 2 juta.
Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Nor Shahila Harun turut berkata, kesan CGI filem Pulang dibuat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
“Kos keseluruhan untuk menghasilkan filem Pulang ini sebanyak lebih RM6 juta disebabkan penggunaan kesan khas CGI yang banyak. Pihak kami sangat teruja dan berbesar hati mendapat CGI yang berinovasi oleh Basecamp VFX dan geran daripada Finas sebanyak RM2 juta.”
Selain itu juga, Nor Shahila turut mendedahkan bahawa mereka menggunakan lebih 500 pelakon tambahan dalam filem ini.
Filem arahan Kabir Bhatia ini dihasilkan berdasarkan kisah benar tiga generasi Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.
Barisan pelakon terdiri daripada Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Darson, Datuk Jalaluddin Hassan dan Juliana Evans.
Pulang mengisahkan kedukaan seorang lelaki berasal dari Serkam (sebuah perkampungan nelayan di Melaka) iaitu Othman yang berlayar ke serata dunia. Othman (lakonan Remy Ishak) ingin mengubah nasib keluarganya yang hidup dalam kesempitan dan terpaksa meninggakan isteri Che Thom (Puteri Aishah) dan anaknya, Omar (Azrel Ismail).
Filem yang memaparkan beberapa buah lokasi terkenal yang berbeza termasuklah di Melaka, Hong Kong, Okinawa, Kepulauan Jeju dan Liverpool, England.
Pulang bakal bertemu penonton pada 26 Julai ini.
Sumber: mStar Online