
Telefilem 18 Puasa di Kampong Pisang berjaya meraih RM 1 juta hanya dalam tempoh tiga hari tayangannya. Kutipan memberasangkan itu telah menggembirakan pengarahnya, Mamat Khalid. Ketika bercakap kepada Harian Metro, Mamat bersyukur dan mengakui mesej positif yang disampaikan dalam filem arahannya itu berjaya menyentuh hati penonton.
“Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton. Saya harap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata. Tetapi turut memberi pengajaran serta mengingatkan kita mengenai kesan baik dan buruk daripada kelakuan kita,” katanya.
18 Puasa di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang yang ponteng puasa ketika di bulan Ramadan. Salah seorang ahli mereka, iaitu Barkoba telah mengalami satu insiden yang mana dia telah didatangi iblis dan dibawa ke masa silam untuk melihat segala dosa yang dilakukan Barkoba sepanjang hidupnya.
Telefilem terbaru ini dibintangi Bell Ngasri sebagai Barkoba bersama-sama Nam Ron dan Jaafar Onn sebagai iblis, Aziz M. Osman, Kazar dan ramai lagi. 18 Puasa Di Kampong Pisang ditayangkan bermula 15 April lalu di platfrom Astro First, saluran 480.