
Baru-baru ini, Warner Bros. Discovery telah membuat keputusan mengejut apabila membatalkan filem Batgirl dari ditayangkan di pawagam mahupun di perkhidmatan streaming.
Keputusan membatalkan filem yang menelan kos sekitar AS$70-90 juta itu benar-benar diluar jangkaan memandangkan filem itu telahpun selesai menjalani penggambaran dan hanya menunggu masa untuk ditayangkan.
Menurut media hiburan antarabangsa, pembatalan Batgirl berpunca dari ‘keputusan tayangan ujian yang lemah, dan Warner Bros. merasakan produk tersebut tidak seperti yang diharapkan.’
Sementara itu, pembatalan filem tersebut turut mengejutkan pengarah Batgirl, Adil El Arbi dan Bilall Fallah, dan mereka mengeluarkan kenyataan bersama serta menerima keputusan Warner Bros. Discovery yang tidak mahu menayangkan filem tersebut.
“Kami sedih dan terkejut dengan berita itu,” kata kenyataan itu.
“Kami masih tidak percaya. Sebagai pengarah, kerja kami ditayangkan kepada penonton adalah penting, dan walaupun filem itu masih belum selesai, kami berharap peminat di seluruh dunia berpeluang melihat dan menerima hasil akhir filem itu sendiri. Mungkin suatu hari nanti, insyaAllah.”
Kenyataan itu seterusnya memuji krew di sebalik filem itu, dan barisan pelakon filem, termasuk Michael Keaton, JK Simmons, Brendan Fraser, dan ramai lagi.
Filem Batgirl diarahkan oleh Adil El Arbi dan Bilall Fallah berdasarkan lakon layar yang ditulis oleh Christina Hodson.
Plotnya berpusat pada watak Barbara Gordon, anak perempuan kepada pesuruhjaya polis Gotham City, James Gordon. Watak ini pertama kali dilihat dalam siri Batman pada tahun 1967 dengan mendiang Yvonne Craig memainkan watak itu. Penampilan pertama Batgirl dalam buku komik adalah menerusi Detective Comics #357 karya penulis Gardner Fox dan artis Carmine Infantino.