Pengarah filem tersohor tanah air, Bade Hj Azmi memberitahu dia akan terus berkarya biarpun filem terbaru arahannya “Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior” tidak mendapat sambutan daripada penonton apabila hanya berjaya mengutip lebih kurang RM300,000.
Mengakui berasa kecewa apabila filem biografi yang dibintangi Langgi anak Kanang, Mampi anak Limbi, Livonia Guing, Ruzana Ibrahim, Aidil Aziz dan Johan As’ari gagal dari segi kutipan filem, namun dia reda.
“Saya kecewa dengan kutipan filem ini yang tidak seperti diharapkan sama seperti penerbit filem tempatan lain. Sebagai pengarah, saya serius dan sudah berusaha menghasilkan filem bercorak biografi seperti ini kerana ia mudah untuk didekati dan difahami penonton. Namun saya reda bila ia tidak berjaya seperti yang diharapkan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Menurut Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) ini, antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan filemnya adalah masyarakat tempatan yang belum lagi ke arah menonton filem tempatan.
Selain itu, Bade juga berkata faktor promosi filem luar yang jauh lebih besar tanpa kawalan juga menjadi salah satu punca tenggelamnya filem tempatan.
Dalam pada itu, Bade akui “Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior” ada sedikit kekurangan namun ia mendapat maklum balas positif daripada penuntut universiti dan institut pengajian tinggi yang rata-rata menyukai filem ini.
Walaupun gagal, Bade berkata dia tetap bersemangat untuk terus menghasilkan filem bercorak biografi, sejarah dan patriotik, malah menantikan naskhah yang lebih mencabar selepas ini.
Sumber: Cinema Online