Berita

Jailbreak, Filem Aksi Kemboja Bakal Ditayangkan Di Malaysia

Views

Peminat-peminat filem aksi tempatan bakal disajikan satu filem penuh aksi dari sebuah negara ASEAN yang padat dengan aksi pertarungan dan tempur. Filem yang dimaksudkan adalah filem Jailbreak yang dihasilkan oleh sebuah produksi di Kemboja iaitu produksi Westec Media Limited.

Filem ini merupakan filem aksi terbesar ketika ini di Kemboja dan telah mencetuskan fenomena di sana dengan sambutan yang diterima sangat positif di kalangan penonton.  Filem aksi Khmer ini juga telah mendapat kutipan tertinggi untuk sebuah filem tempatan di Kemboja pada hari pertama tayangannya.

Filem aksi ini adalah hasil sebuah filem kolaborasi antara Kemboja dan Malaysia menerusi Imaginex Studios Sdn Bhd, yang mana ia terlibat dalam kesan bunyi khas, dan juga Basecamp Films, yang membuat 'colour grading' dan banyak lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Westec Media Limited (WML), Michael Chai, beliau berharap agar filem aksi ini dapat ditayangkan di Malaysia kerana ia adalah sebuah filem kolaborasi antara dua buah negara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tenaga kerja di Malaysia iaitu Imaginex Studios kerana telah memberikan yang terbaik kepada "Jailbreak"," katanya.

Jailbreak mengisahkan tentang empat pegawai polis memindahkan seorang penjenayah yang dikenali sebagai Playboy ke sebuah penjara untuk perbicaraan atas pembabitannya dalam satu organisasi jenayah terancang. Ketua kumpulan organisasi tersebut kemudian telah mengarahkan salah seorang banduan dalam penjara itu untuk membunuh Playboy.

Rusuhan telah tercetus di dalam penjara dan ini menyebabkan kesemua mereka terperangkap. Mereka perlu berdepan dengan ratusan banduan yang mahu membunuh mereka dan pada masa yang sama mereka perlu menyelamatkan nyawa Playboy.

Diarahkan oleh pengarah berasal dari Itali yang berpengkalan di Kemboja, Jimmy Handerson ("Hanuman"), Jailbreak dibintangi oleh pelakon lagak ngeri Perancis-Kemboja, Jean Paul-Ly ("Marvel's Doctor Strange"), atlet Bokator Dara Our, atlet MMA Tharoth Sam, aktres Perancis-Vietnam Celine Tran, dan pelakon kemboja Savin Phillip dan Putera Kemboja Sisowath Siriwudd.

Official Trailer

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks