
Pelakon Izara Aishah mengakui dirinya semakin merasai debaran apabila filem terbarunya “J Revolusi” bakal ditayangkan pada bulan Mac depan.
Menurut Izara, apa yang membuatkan dia teruja adalah kerana dia sememangnya mahu berlakon dalam sebuah filem aksi.
Izara bagaimanapun berkata ini bukan kali pertama dia berlakon dalam filem aksi, kerana sebelum ini dia pernah terlibat dalam sebuah filem sebagai pesilat, namun filem itu belum lagi ditayangkan sehingga ini.
Tambahnya, dia sememangnya mahukan watak seorang ‘fighter’ dan pemilihannya dalam filem “J Revolusi” adalah kerana dia mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri.
“Saya sentiasa mahu mencabar diri dengan membawa watak ‘fighter’ dan akan memberikan lebih 100 peratus komitmen bagi menjayakan watak tersebut. Mungkin kerana itu juga ia mempengaruhi pihak produksi memilih saya sertai “J Revolusi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah pelakon “Showdown The Movie” ini lagi, biarpun dirinya berasa kepenatan dari segi mental dan fizikal dalam menjayakan watak Eddie, namun ia tidak pun melemahkannya.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya ketika penggambaran, Izara mengakui terpaksa menjayakan babak aksi bertempur dan berlari banyak kali bagi mendapatkan sudut berbeza.
Sementara itu, dalam perkembangan terbarunya, Izara berkata rezekinya untuk tahun ini semakin murah dan dihujani banyak tawaran berlakon.
Selepas tayangan “J Revolusi” dia mempunyai beberapa buah lagi filem akan ditayangkan antaranya “Kau Yang Satu”.
Selain itu, dia juga kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul “Dia” sebanyak 60 episod.