Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Tempatan

iQiyi Umum Usaha Sama Dengan Media Prima & Celcom, Mengukuhkan Kedudukan Sebagai Peneraju Platform Penstriman Di Malaysia


Siaran Akhbar

 Penyedia khidmat penstriman hiburan inovatif atas talian, iQIYI International mengukuhkan kedudukannya di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan dua syarikat ternama – syarikat penciptaan kandungan media dan hiburan terulung, Media Prima, dan Celcom Axiata Berhad (Celcom), satu syarikat telekomunikasi terbesar negara.

Melalui pencapaian yang amat memberangsangkan pada akhir tahun 2020 dengan mencatat jumlah pengguna lebih 15 kali ganda, iQiyi mempertingkatkanlagi komitmennya untuk melabur dalam ekosistem hiburan tempatan di Malaysia menerusi kerjasama dengan Primeworks Studio.

Ketika mengumumkan perkongsian ini pada satu sidang media, Dinesh Ratnam, Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei berkata, “Kami agak baharu dalam bidangpenstriman di Malaysia, namun kami memiliki impian yang besar bukan sahaja untuk menambah jumlah pengguna, tetapi juga berhasrat untuk menambah baik katalog tontonan terbaik sekaligus menawarkan hiburan yang terbaik dari Asia.

Kami juga merupakan sebuah platform  penstriman yang paling pesat berkembang di Malaysia sejak lebih 12 bulan yang lalu. Kini, kami berazam untuk menjadi pemacu utama ekosistem hiburan tempatan dengan menjalin hubungan jangka panjang yang erat di antara pengguna serta rakan kongsi kami. Jadi, kerjasama dengan Primeworks Studio dan Celcom merupakan satu langkah yang amat strategik dan merupakan satu sinergi yang bakal membolehkan kami memberikan hiburan mutlak yang terbaik.” 


Memanfaatkan sinergi untuk pengalaman hiburan terbaik

Perjanjian tahunan yang dimeterai bersama Primeworks Studio akan memberikan iQiyi keutamaan hak tayangan untuk drama-drama tempatan yang popular terbitan TV3. Ini termasuklah drama-drama popular utama yang akan boleh distrim di platform iQiyi pada hari yang sama ianya ditayangkan di TV3.

Kesemua judul TV3 ini akan ditempatkan di satu ruangan khas di aplikasi iQiyi, yang juga boleh diakses melalui pautan www.iQ.com/local. Ruangan tontonan tempatan yang diberi nama ‘Local’ ini dijangka akan mengandungi lebih 1,000 jam senarai tontonan premium tempatan menjelang akhir tahun 2021.

Melalui kerjasama ini, jumlah penonton iQiyi bagi tontonan drama TV3 ini diperluaskankepengguna di Singapura dan Brunei. Mereka akan dapat menonton rancangan istimewa Ramadan dan Hari Raya seperti Sabarlah Duhai Hati dan Cukup Derita Itu, serta senarai tontonan popular yang amat dinanti-nantikan iaitu sambungan drama, 7 Hari Mencintaiku 2 dan Budak Tebing.

Selain dari hak penyiaran, komitmen kerjasama di antara iQiyi dan Primeworks Studio ini juga akan memberikan kelebihan kepada pengguna yang inginkan akses “tontonan awal” untuk drama terbaharu bertajuk, Shah Alam 40000. Drama ini akan mula disiarkan pada 20 Mac 2021 pada jam 12 tengah hari. Drama bersiri ini adalah drama rekaan berlatarbelakangkan sebuah kejiranan golongan atasan di Shah Alam. Ia menceritakan tentang tiga wanita kaya dan ternama, yang mana salah seorang daripadanya telah menceburi bidang perniagaan. Namun, ianya bakal merungkai satu rahsia. Pengguna iQiyi bakal memperoleh akses eksklusif dan percuma untuk drama ini dalam tempoh terhad, sebelum ianya ditayangkan di TV3 pada penghujung tahun ini. Pengguna iQiyi juga bakal memperoleh akses tontonan ke episod khas. 

Disamping kerjasama dengan syarikat Primeworks Studio, iQiyi turut menjalin kerjasama dengan Celcom. Kerjasama terjalin apabila Celcom menjadi syarikat telekomunikasi rasmi untuk rancangan variasi terulung terbitan iQiyi iaitu Youth With You 3 (YWY3). Rancangan variasi hit dari China ini telah mempunyai jumlah penonton yang tinggi di Malaysia yang menampilkan produksi berkualiti tinggi, pengalaman tontonan interaktif, serta dibarisi para juri ternama seperti Lisa dari kumpulan BLACKPINK, Li Ronghao dan Will Pan. Tahun ini, rancangan ini menawarkan fungsi interaktif terbaharu dimana penonton boleh membuat undian untuk peserta pilihan mereka, dan juga menulis nota kepada peserta tersebut melalui platform iQiyi. 

Maklumat lanjut untuk kerjasama di antara iQiyi dan Celcom akan dikongsi dalam masa terdekat, termasuklah kerjasama tambahan di antara produk untuk sistem pembayaran yang lebih efisien. 

Meluaskan capaian digital untuk pengguna di Malaysia dengan senarai tontonan hebat

iQiyi diiktiraf sebagai aplikasi penstriman over-the-top (OTT) yang paling banyak dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, di antara bulan Ogos 2020 dan Februari 2021.

Nini Yusof, Ketua Pegawai Kreatif & Kandungan Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios menjelaskan, “Sebagai sebuah syarikat media berintegrasi bersama syarikat pengedar dan penciptaan kandungan terbesar negara iaitu Primeworks Studios, kami percaya usaha sama dengan iQiyi adalah selaras dengan strategi kami untuk memperkembangkan capaian digital kepada lebih banyak pengguna premium bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara. Kami teruja kerana pengguna dapat menikmati drama-drama terbaik yang boleh ditonton secara on-demand di platform iQiyi, satu jam selepas ditayangkan di TV. Kolaborasi dengan salah satu penyedia platform penstriman OTT membuktikan komitmen Primeworks Studios dalam membawakan drama berkualiti kepada lebih banyak pengguna. 

T.Kugan K. Thirunavakarasu, Ketua Pegawai Perniagaan Celcom Axiata Berhad menambah, “Permintaan untuk kandungan video dan hiburan terus meningkat dengan pantas meliputi lebih 13 juta pengguna melalui rangkaian kami yang paling luas (pada tahun 2020). Kami sedar bahawa pelanggan mahukan produk dan hiburan yang mempunyai nilai tambah, selaras dengan gaya hidup masa kini. Bagi memenuhi keperluan ini, kami akan merumuskan pakej eksklusif yang direka khusus dengan senarai tontonan tempatan, Korea dan Antara bangsa untuk dinikmati pengguna sama ada di rumah, atau dimana-mana sahaja. Kami percaya usaha sama strategik kami dengan iQiyi akan mengukuhkan kedudukan Celcom dalam arena telekomunikasi.”

Platform hiburan OTT terbaik di Asia, destinasi setempat untuk peniaga meluaskan perniagaan melalui pengiklanan

Semasa pandemik melanda dan pasca pandemik dimana, data menunjukkan trend penggunaan platform penstriman yang amat memberangsangkan. Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh syarikat Nielsen, jumlah pendaftaran pengguna baru OTT atau platform penstriman adalah sekitar satu juta pengguna baharu untuk tahun lalu kepada jumlah 14.1 juta pengguna. iQiyi pula mencatatkan 68 juta jumlah jam tontonan diplatformnya, hanya pada 2020 sahaja. Dalam satu kaji selidik bebas mendapati, pengguna sanggup menonton iklan untuk bayaran langganan rendah atau tontonan percuma. 

Melalui trend ini, iQiyi bertindak untuk membuat pelaburan untuk solusi pemasaran digital. Berazam untuk menjadi destinasi pilihan untuk jenama-jenama atau syarikat yang ingin memperkembangkan perniagaan mereka, iQiyi juga telah melantik Media Prima Omnia sebagai rakan pemasaran bukan eksklusif di Malaysia. Dengan rangkaian jualan Media Prima Omnia yang meluas, ini akan membolehkan iQiyi menyediakan pakej khas dan bersesuaian untuk pengiklanan di platform iQiyi atau di saluran TV Media Prima.

iQiyi turut menampilkan senarai tontonan dari n Korea dan China yang menarik pada tahun 2021. Antaranya termasuk drama terbitan asal Korea yang pertama, My Roommate is a Gumiho serta drama SEA dalam bahasa Cina yang pertama, The Ferryman: Legends of Nanyang – yang diadaptasi daripada siri web China yang popular dengan latar belakang Singapura dan Malaysia. Difilemkan di Iskandar Malaysia Studios di Johor Bahru, drama ini menampilkan gabungan pelakon tempatan dan antarabangsa iaitu pelakon kelahiran Malaysia Lawrence Wong, Jeanette Aw, Qi Yuwu, Rynn Lim, Ribbon Ooi, Joey Leong dan ramai lagi.

“Kami komited untuk memberikan yang terbaik dalam hiburan dari Asia dan melihat senarai tontonan dari Korea dan Cina di platform kami diterima baik oleh para penonton bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh Asia Tenggara. Selain itu, penerimaan dilihat semakin meningkat untuk cerita-cerita dari Asia Tenggara di negara China. Oleh yang demikian, selain memenuhi selera penonton tempatan, kami juga berharap dapat menyediakan platform untuk senarai tontonan tempatan dieksport ke peringkat global. Langkah ini membolehkan penerbit tempatan meluaskan capaian mereka ke peringkat antarabangsa,” tambah Dinesh.


Related posts

iQIYI Lancar Rancangan Aneka Hiburan Pertamanya Bersama GrabFood Malaysia

Kakimuvee

Watak Beto Kusyairi Semakin Psycho, Plot Drama ‘Bunga, Aku Tunggu’ Buatkan Penonton Tidak Senang Duduk

Kakimuvee

iQIYI Umum 3 Judul Original & Eksklusif Untuk 2023, Rampas Cintaku Kembali Dengan Musim Ke-2

Kakimuvee

Adunan Plot Berat Dalam Drama ‘Bukan Puteri Lindungan Bulan’, Janna Nick Buatkan Penonton Cemas Dalam Episod Seterusnya Di iQIYI

Kakimuvee

Fasha Sandha Dedahkan Isu Kesihatan Mental Selepas Bersalin Dalam Siri Psiko Thriller ‘Serpihan Sayang’ di iQIYI

Kakimuvee

iQIYI Lancar 4 Drama Mega Disember Ini Sempena Jualan Super 40% Diskaun Untuk Akses VIP

Kakimuvee