
Harapan Warner Bros. Discovery yang mahu melihat The Flash menjadi salah satu kejayaan box office pada tahun ini nampaknya semakin malap walaupun filem itu dianggap antara filem adiwira terbaik yang pernah dihasilkan.
Filem arahan Andy Muschietti itu seperti tidak kena di box office domestik AS selepas hanya mengutip AS$55 juta pada minggu pembukaan. Minggu lalu, menyaksikan The Flash mencatat penurunan besar, iaitu hampir 67% dengan hanya mengutip AS$5 juta.
Kutipan terkini itu menjadikan The Flash hanya mengutip AS$99 juta di box office AS dan AS$245.3 juta di box office global .
Dilaporkan, kos pembikinan dan pemasaran The Flash melebihi AS$300 juta, dan ini menjadi filem itu antara filem adiwira paling gagal yang pernah dihasilkan.
Sementara itu, filem terbaru Harrison Ford nampaknya turut berhempas pulas di box office dengan Indiana Jones and the Dial of Destiny hanya mengutip AS$60 juta di box office domestik AS pada minggu pembukaan.
Di pasaran global, ansuran terbaru Indiana Jones itu mengumpul AS$130 juta, hanya separuh dari kutipan yang dicatatkan Indiana Jones and the Crystal Skull yang ditayangkan pada 2008 (kutipan AS$272.1 juta).
Jika Indiana Jones and the Dial of Destiny gagal menunjukkan prestasi baik pada minggu kedua, filem itu berpotensi memasuki senarai filem-filem gagal Disney sejak kebelakangan ini.