Berita

Ibu Mengandung & Pesakit Jantung Jangan Tengok Filem Munafik

Views

Munafik 3

Apabila pengarah terkenal, Syamsul Yusof, meletakkan peringatan supaya pesakit jantung dan ibu mengandung tidak menonton karya terbaharunya, Munafik, ia tentu saja menimbulkan persoalan apakah ia sekadar gimik bagi melariskan filem terbabit?

Syamsul sudah beberapa kali memuat naik poster filem berkenaan bersama peringatan itu ke laman sosial Instagramnya, dengan yang terbaharunya, semalam. Bagaimanapun, Syamsul ketika dihubungi hari ini berkata, amaran yang diberikannya itu bukan gimik bagi mencabar penonton, sebaliknya beliau berbuat demikian berdasarkan rasa tanggungjawab bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Beliau mengakui berasa bimbang apabila naskhah yang akan menemui penonton mulai 25 Februari itu dianggap karya seram paling ekstrem pernah dihasilkannya.

"Ketika membikin filem ini, saya meletakkan sasaran untuk menghasilkan naskhah dengan elemen seram yang tinggi, selain mahu menjadikan Munafik sebagai judul daripada genre seram yang akan diingati dalam industri filem tanah air."

THN_4891

"Memang jujur saya katakan, Munafik memiliki babak seram yang ekstrem apabila ia banyak memaparkan aksi mengejutkan, ditambah pula dengan sistem bunyi yang berkualiti.

"Boleh dikatakan, ia memaparkan babak dua kali ganda lebih seram daripada filem saya sebelum ini, Khurafat. Elemen seperti inilah yang dibimbangi boleh memudaratkan penonton, khususnya pesakit jantung dan ibu mengandung," katanya.

Kata Syamsul, peringatan itu juga dirasakan perlu apabila memikirkan banyak visual memaparkan aksi di tanah perkuburan dan bilik mayat yang boleh mengganggu psikologi khalayak.

"Pada masa sama, Munafik cukup istimewa sehingga mendapat perhatian pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana ia sarat dengan unsur agama, yang dirujuk daripada al-Quran dan hadis.

Munafik poster

"Ketika filem ini ditonton oleh wakil Lembaga Penapisan Filem (LPF), mereka terpaksa merujuknya kepada JAKIM dan beberapa babak diminta supaya diubah kerana dibimbangi menyentuh sensitiviti agama.

"Begitupun, saya memiliki alasan kukuh untuk menampilkan babak sedemikian, yang dirasakan tidak menyimpang dari landasan agama. Malah, saya mendapatkan banyak pandangan daripada alim ulama, selain ia jelas terkandung di dalam hadis dan kitab suci," katanya.

Selain dirinya sendiri, Munafik yang diterbitkan oleh Skop Productions Sdn Bhd turut dibintangi Nabila Huda, Sabrina Ali, Pekin dan Fizz Fairuz.

sumber: Berita Harian

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks