
Berikutan kejayaan box office Barbie, The Hollywood Reporter melaporkan bahawa Warner Bros. Discovery masih berusaha untuk membangunkan filem Hot Wheels. Ini termasuklah mengadakan pertemuan dengan pengarah yang berpotensi.
THR memberitahu, projek itu kini sedang mencari pengarah yang sesuai, walapun skrip masih belum ditulis.
Laman itu turut menyebut bahawa penerbit di Mattel berharap untuk mengekalkan momentum projek itu, walaupun dengan kebanyakan projek Hollywood terhenti akibat mogok WGA dan SAG-AFTRA yang berterusan.
Walau bagaimanapun, disebabkan DGA (Persatuan Pengarah Amerika) mengesahkan kontrak baharu pada bulan Jun yang lalu, mereka kini dapat membuat perjanjian dengan studio.
Perkembangan itu didedahkan susulan perkembangan terkini Hot Wheels yang dikongsikan J.J. Abrams. Penerbit dan pengarah itu memberitahu laman New Yorker bahawa filem itu digambarkan sebagai “beremosi dan kasar.”
Robbie Brenner, ketua Mattel Films, juga berkata filem itu akan mempunyai “watak sebenar yang bolah dikaitkan penonton, iaitu tiga-dimesi, yang mempunyai perjalanan emosi.”