Filem seram komedi Hantu Kak Limah terus mencatat kutipan yang cukup memberansangkan apabila berjaya meraih RM20.5 juta selepas 11 hari tayangan dipawagam Malaysia, Singapura dan Brunei. Kutipan ini meletakkan filem Hantu Kak Limah ditangga teratas senarai kutipan filem tempatan paling laris menewaskan filem Abang Long Fadil 2 yang mengutip RM18.15 juta.
Sebelum ini, Hantu Kak Limah telah mencipta beberapa rekod apabila menjadi filem paling tinggi kutipan pada tayangan sneak preview dengan kutipan sebanyak RM 650 ribu dan juga tayangan pembukaan dimana ia telah berjaya mengutip RM 1.8 juta pada hari pertama.
Sementara itu, filem animasi terbitan Kartun Studio, Wheely turut bermula langkah kanan apabila berjaya meraih RM 6.7 juta selepas 4 hari ditayangkan. Untuk tayangan di pawagam tempatan, Wheely berjaya meraih RM 1.1 juta manakala tayangan di beberapa negara luar menjangkau RM 5.6 juta.
Diarahkan oleh Yusry Abdul Halim, filem animasi ini menampilkan lakonan suara dari pelakon-pelakon terkenal tanah air iaitu Zizan Razak, Johan Raja Lawak, Lisa Surihani dan Norman Abdul Halim.
Hantu Kak Limah dan Wheely kini sedang ditayangkan dipawagam-pawagam tanah air.