Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Tempatan

Geran Berjaya Menangi Anugerah Di Festival Filem Asia New York 2020

Berita gembira buat industri filem tempatan. Filem aksi persilatan Geran terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 di atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

Menurut media rasmi NYAFF, EasternKicks.com, kemenangan itu meletakkan pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar setaraf dengan nama-nama seperti Dante Lam (Operation Red Sea), Yue Song (The Bodyguard) dan Jung Byung-gil (The Villaines) yang memenangi anugerah kecemerlangan filem aksi itu sebelum ini.

Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan itu antara lain menampilkan Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng (koreografer aksi silat) dan Megat Shahrizal sebagai pelakon.

Areel ketika dihubungi Bernama, menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan besar kepada kru produksi dan peminat filem Geran yang mengangkat seni silat dan budaya masyarakat Malaysia ke layar perak di mata dunia.

“Kami tidak pernah menyangka untuk menerima penghargaan sebesar ini daripada pihak luar. Ini anugerah pertama diterima filem Geran, ini juga filem pertama saya,” katanya bahawa pihak penganjur NYAFF telah memaklumkan kemenangan filem Geran itu kepada beliau, hari ini.

Ditayangkan di pawagam pada 10 Oktober 2019 di Malaysia dan Brunei, filem Geran yang dilaporkan menggunakan bajet sendiri, mengisahkan tentang satu keluarga pesilat yang mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Filem aksi yang disifatkan sebagai naskah kerdil oleh Areel ini berbeza daripada filem aksi lain kerana menampilkan pesilat sebenar sebagai pelakon utama dengan sebahagian besar aksi lagak ngeri dilakukan sendiri barisan pelakonnya.

NYAFF, yang akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 Sept 2020, adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia.

Ia juga menjadi platform tayangan dan apresiasi filem melalui pemilihan naskah filem kontemporari dan klasik dari negara-negara Asia.

Sumber: Astro Awani

Related posts

5 Animasi Tempatan Untuk Memberi Hiburan Kepada Kanak-Kanak Pada Hari Malaysia Ini

Kakimuvee

DRAMA ‘THE HOTEL’ BERI PERSPEKTIF LAIN TENTANG ISU KESIHATAN MENTAL

Zulaikha

Anime Pertama Tempatan ‘Satria 7 Pahlawan’ Akan Tersedia Di Netflix Selasa Ini

Kakimuvee

Drama Terbaru ‘HASRAT TERSIRAT’ Sarat Dengan Konflik

Zulaikha

ASTRO SIAR TAYANGAN EKSKLUSIF ‘ALL TOGETHER NOW MALAYSIA’ SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-25

Zulaikha

5 Rancangan Tempatan Yang Pernah Kita Tonton Sewaktu Kecil

Kakimuvee

Leave a Comment