
Selepas lama menanti, akhirnya filem aksi tempatan Geran akan menemui penonton pada Khamis ini (18 Disember), di platform streaming popular Netflix.
Geran atau tajuk bahasa Inggeris The Deed of Death berkisarkan tentang Ali dan Fatimah yang tertekan dengan adik bongsu mereka, Mat Arip, apabila dia gagal pulang ke rumah bersama geran tanah pusaka mereka. Ali perlu mencari Mat Arip, yang telah terjebak ke jalan yang salah dan terbabit dengan perjudian serta lumba kereta haram, dan membawanya pulang ke pangkuan bapa mereka, Pak Nayan.
Filem arahan Areel Abu Bakar ini telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila mendapat Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 pada Ogos yang lalu. Filem aksi ini juga telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa.
Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan ini antara lain menampilkan Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng (koreografer aksi silat) dan Megat Shahrizal sebagai pelakon.
Kepada mereka yang ingin mengulang tayang filem Geran atau yang belum pernah menontonnya, jangan lupa saksikan filem di platform streaming Netflix pada 18 Disember ini.