
Walaupun Harry Potter dianggap francais terbesar Warner Bros., Fantastic Beasts nampaknya gagal mengikuti jejak langkah francais Harry Potter apabila filem-filemnya sering gagal di pasaran box office.
Tidak dinafikan, Fantastic Beasts and Where to Find Them agak menarik untuk ditonton, namun filem sekuelnya menyaksikan penurunan mendadak dari segi kualiti, dengan tahap kawalan kerosakan dalam ansuran terkini tidak banyak membantu untuk meletakkan siri bermasalah itu kembali ke landasan yang betul.
Kita menjangkakan bahawa kita akan mendapat sekurang-kurangnya dua lagi filem untuk mengakhiri francais Fantastic Beasts, namun, perancangannya mungkin terbantut dengan perkembangan terkini mengenai francais tersebut.
Filem The Crimes of Grindelwald dan The Secrets of Dumbledore adalah kegagalan box office, dan regim baru di Warner Bros. Discovery dilihat akan membatalkan sekuel kepada filem-filem tersebut – semua bergantung pada keputusan CEO David Zaslav.
Dalam laporan yang dikeluarkan Variety, walaupun komen Zaslav baru-baru ini tentang kemungkinan kembali ke francais Harry Potter, “Tiada perbincangan aktif pada masa ini dengan Rowling tentang membangunkan satu lagi filem ‘Harry Potter’.”
Malah, “Pada masa ini tiada apa-apa pembangunan aktif ‘the Wizarding World’ di Warner Bros., ini termasuklah kedua-dua francais ‘Harry Potter’ dan IP ‘Fantastic Beasts’.”
Ia seolah-olah membayangkan bahawa pintu untuk Fantastic Beats 4 akan tertutup, dan kemungkinan kita tidak akan dapat melihat bagaimana pertempuran antara Albus Dumbledore dan Gellert Grindelwald akan berakhir.
Apapun, laporan dari Variety tidak bermakna Warner Bros. akan menutup pintu buat francais Harry Potter.. dan mungkin Fantastic Beasts, cuma apa yang kita perlu buat adalah menanti perkembangan terbaru mengenai kedua-dua francais itu dari pihak studio sendiri.