
Trailer filem seram tempatan, Pulau, telah mencetuskan kontroversi kerana memaparkan beberapa adegan ‘panas’ dan keterlaluan.
Sehubungan dengan itu, terdapat segelintir netizen yang menyelar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia FINAS kerana meluluskan tayangan filem tersebut.
Mengambil maklum isu tersebut, badan tersebut tampil memberi penjelasan mengenai isu yang sedang tular di media sosial.
Bercakap kepada Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, FINAS tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem Pulau, sebaliknya garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).
“Trailer yang tular memaparkan beberapa adegan keterlaluan dan dilihat tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia.
“Babak seperti ini tidak wajarnya dilakukan. Namun, kelulusan tayangan tertakluk di bawah LPF menerusi penguatkuasaan Akta 620, Akta Penapisan Filem 2002.
“Filem Pulau menerima kelulusan LPF pada September, tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan.
Menurut Md Nasir lagi, tugasan penapisan filem dilaksanakan tiga Ahli Lembaga Penapis dan keputusan panel diperakukan untuk pertimbangan Pengerusi atau Naib Pengerusi Lembaga Penapisan.
“Sesuatu pertimbangan dibuat berdasarkan peraturan dan kriteria ditetapkan tiga dokumen asas iaitu Akta Penapisan Filem, Garis Panduan Penapisan Filem dan Panduan Khusus Penapisan Filem.
“Filem adalah salah satu platform terbaik dalam menyemai semangat toleransi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta bangsa.
“Namun, FINAS tidak menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak mengeluar dan menerbitkan karya seni sebagaimana termaktub dalam Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dan pematuhan kepada prosedur permohonan lesen penggambaran yang meliputi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), Lesen Pengeluaran Filem (PF) dan Lesen Pengedaran Filem (DF) serta mana-mana akta perundangan Kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Walaupun kelulusan tayangan diberikan oleh LPF, FINAS masih boleh mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan semasa permohonan lesen berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6 (2) selaku badan dipertanggungjawabkan dalam pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan.
“FINAS boleh membatalkan lesen jika pemegang lesen disabitkan kesalahan berkenaan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak.
“Sehubungan itu, FINAS menasihatkan agar penggiat seni lebih sensitif dan berhati-hati dalam penghasilan sesuatu karya kreatif dan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.
“Ia bagi mengelak timbul prasangka tidak baik atau kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai latar belakang budaya dan agama,” katanya.