Trivia

Filem U-571: Sejauh Mana Hollywood Menipu Sejarah Perang Dunia Ke-2

Views

U-571 merupakan salah satu filem perang popular yang dihasilkan oleh studio dari Hollywood iaitu Universal Pictures. Filem yang bertemakan kapal selam ini menjadi kegemaran peminat kerana ia diinspirasikan dari satu operasi ketenteraan semasa perang dunia kedua. Selain itu juga, efek letupan dalam air dan bunyi semasa babak memburu kapal selam yang begitu realistik telah membolehkan filem arahan Jonathan Mostow mengondol anugerah Academy dalam kategori "Sound Mixing" Terbaik.

Tetapi tahukan anda bahawa filem U-571 ini sebenarnya banyak menyimpang dari fakta sejarah Perang Dunia Kedua sehingga menimbulkan kontroversi panas melibatkan veteran-veteran perang Britain. Untuk informasi, pasukan tentera British adalah pihak yang sebenarnya mencuri mesin Enigma dari tangan tentera Nazi, bukan Amerika Syarikat seperti yang digembar-gemburkan dalam filem.

U-571 memaparkan sekumpulan askar Navy US yang menjalankan satu misi berani mati untuk mencuri mesin paling penting sekali dalam sejarah Perang Dunia Kedua, iaitu Mesin Enigma. Mesin rahsia milik Nazi Jerman itu merupakan mesin kod yang begitu sukar untuk 'dipecahkan' oleh pihak Tentera Berikat, dan ianya sering memberi masalah besar kepada agensi perisikan kerana mesejnya sangat mengelirukan dan pelik.

Oleh itu, cara yang paling afdal untuk mereka memecahkan kod rahsia tentera Nazi adalah dengan mencuri mesin tersebut supaya mereka dapat memahami rahsia dan cara untuk memecahkan segala pesanan rahsia yang dhantar oleh komander U-Boat ke pusat pemerintah mereka di Jerman.

Dalam filem ini, pihak tentera Navy US telah menaiki kapal selam S-33 dan menyamar sebagai U-Boat. Mereka merapati kapal U-571 dan kemudiannya membuat serangan mengejut untuk menawan kapal selam Nazi itu. Dari segi penceritaan, filem ini seoalah-olah menggambarkan tentera Navy US sebagai hero sebenarnya yang mengubah hala tuju peperangan di Eropah terutamanya di Lautan Atlantik, sedangkan ia hanya satu lagi propaganda Hollywood yang sengaja mengangkat kehebatan pasukan tentera US secara berlebihan.

Mari kita lihat dari fakta sejarah.

Dari segi sejarah, pasukan US Navy sememangnya mempunyai kapal selam S-33 yang memulakan operasinya dilautan pada tahun 1918. Namun kapal selam tersebut tidak pernah terlibat dalam operasi ketenteraan utama di Lautan Atlantik, dan sekadar ditugaskan untuk rondaan dilautan. US pernah mencuri mesin Enigma, tetapi bukannya pada tahun 1941 seperti yang dipaparkan dalam filem, sebaliknya pada tahun 1944 dengan penawanan U-Boat 505. Bagaimanapun, operasi merampas mesin tersebut tidak sehebat dan sesukar seperti  yang dipaparkan dalam filem.

Yang sebenarnya, pasukan British Navy adalah pihak pertama yang berjaya mencuri mesin Enigma dari tangan Nazi Jerman. Pada tahun 1941, Kapal pemusnah HMS Bulldog telah dapat menawan U-110 selepas berjaya memaksa U-Boat tersebut muncul ke permukaan. Kapten U-110 dikatakan gagal menenggelamkan kapalnya selepas krewnya menyelamatkan diri, dan menyebabkan tentera Navy British berjaya memasuki U-Boat tersebut dan menemui mesin paling bernilai bersama-sama buku kod.

Mesin tersebut telah dibawa Chyper School di Bletchey Park dan kemudiannya diserahkan kepada Alan Turing untuk dinyahkod (kisah Alan Turing menerima mesin Enigma ini ditunjukan dalam filem The Imitation Game  yang ditayangkan pada 2014).

Disebabkan faktanya yang jauh menyimpang, rakyat British terutamanya veteran-veteran perang mengecam teruk filem U-571 kerana mengangkat tentera Navy US sebagai hero yang berjaya mencuri mesin Enigma pertama. Malah, media-media di Britain menyifatkan filem ini sangat memalukan dan merosakkan filem-filem yang diadaptasi dari sejarah.

Lebih memalukan, semasa pasukan Navy US cuba mencuri mesin Enigma dari U-505 pada tahun 1944, mereka mendapat maklumat perisikan dari pihak British dan tidak 'berpeluh' seperti seperti yang ditunjukan dalam filem U-571.

Memberi tanggapan negatif kepada pelayar U-Boat

Selain itu juga, filem ini menerima kritik teruk dari sejarahwan kerana menggambarkan pelayar U-Boat sebagai kejam dan tidak berperikemanusian. Filem U-571 menunjukkan pelayar U-Boat menembak mati mangsa yang terselamat dari kapal yang tenggelam agar krew kapal yang terselamat ini tidak mendedahkan lokasi mereka. Sedangkan pelayar U-Boat sering menyelamatkan mangsa-mangsa yang terselamat dan memberi bantuan dari segi makanan, arah pelayaran dan juga perubatan. Walaupun pihak pemerintah tertinggi Nazi pernah mengarahkan komander U-Boat agar tidak menyelamatkan krew yang terselamat, mereka masih memberi bantuan.

Kepada anda yang pernah menyaksikan filem ini, apa pendapat anda dengan cara Hollywood menipu sejarah dalam filem mereka? kongsikan pendapat anda.

Artikel ini dikemaskini pada 25/1/2010 @ 2.30pm

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks