Filem Tanah Air Masih Kurang Ketengah Nilai Positif

0
421
views

integritimalaysia.transformed

KUALA LUMPUR: Meskipun banyak filem tempatan mula memenuhi pawagam, namun masih kurang mengetengahkan dan menyampaikan nilai positif kepada masyarakat, menurut Naib Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Syed Zulkifli Syed Masir.

Beliau berkata, filem tempatan perlu menghasilkan filem yang mempunyai watak yang lebih realistik supaya dapat dihubungkan dengan penonton. Menurutnya, filem tempatan yang diterbitkan setakat ini masih gagal dalam membawa nilai positif seperti moral, integriti dan sebagainya.

“Filem tempatan tidak pandai bawa watak yang realistik. Jadi penonton tidak dapat ‘feel’ nilai yang cuba dibawa oleh watak itu.

“Malah pembelian tiket bagi filem tempatan juga sangat rendah,” katanya selepas menghadiri wacana Gobok Wayang: “On the Streets of London”, Selongkar Makna Integriti di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini, malam tadi.

Program wacana itu adalah kerjasama antara IIM bersama penggiat seni tanah air sebagai satu pendekatan yang diambil untuk memupuk kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan pengamalan integriti dalam kehidupan seharian anggota masyarakat. Syed Zulkifli berkata, jumlah kutipan kasar bagi tayangan filem tempatan cereka juga berkurangan sejak 2012, sekali gus menunjukkan industri filem tanah air kurang menarik perhatian generasi Y.

Statistik dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menunjukkan jumlah kutipan kasar yang diraih daripada filem tempatan adalah hanya RM1.28 juta pada 2012, RM1.20 juta (2013), RM0.89 juta (2014) dan RM0.21 juta setakat Mac tahun ini.

Filem pendek “On the Streets of London” itu dijadikan bahan dalam wacana bagi membincangkan isu-isu berkaitan integriti dan mesej penting yang tersirat dalam filem itu. Filem berdurasi 20 minit itu menceritakan kisah pertemuan dua pelajar Melayu yang belajar di London dengan satu watak masih mempraktikkan ciri-ciri orang Melayu walaupun berada di London manakala satu lagi watak terikut-ikut dengan budaya Barat dan cuba mengamalkannya.

Filem itu memenangi Anugerah Emas untuk Filem Pendek Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dalam International Movie Awards 2014 di Jakarta, Indonesia. – BERNAMA

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here