
Filem Satria Dewa: Gatotkaca yang kini sedang ditayangkan di seluruh pawagam Indonesia bakal menembusi pasaran Malaysia dan Amerika Utara tidak lama lagi!
Syarikat pengedar filem tempatan, Horizon Film Entertainment, akan membawa filem ini untuk ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia.
Mohd Shahir Sulaiman, Pengarah Urusan Horizon FIlm Entertainment, sempat meluangkan sedikit masa untuk datang dan menghadiri Gala Premiere Filem Satria Dewa Gatotkaca di Bioskop XXI Epicentrum Walk, Kuningan, Jakarta Selatan, pada Isnin yang lalu.
“Gatotkaca ialah karya segar dan memaparkan jalan cerita yang menarik,” ujar Mohd Shahir Sulaiman dalam satu temubual.
“Kita rumpun yang sama. Berkongsi akar budaya, adat dan warisan. Kerana itu, cita rasa juga tidak jauh berbeza,” ujarnya lagi.
Horizon Film Entertainment yakin bahawa filem Satria Dewa: Gatotkaca dapat diterima baik penonton di Malaysia.
Di pasaran Amerika Utara, syarikat Well Go USA berjaya mendapatkan hak untuk menayangkan filem Satria Dewa Gatotkaca di sana. Well Go USA tidak asing lagi dalam membawa beberapa filem terkenal antarabangsa di pasaran AS seperti IP Man lakonan Donny Yen, The Police Story yang dibintangi bintang Hong Kong popular Jackie Chan dan filem Gintama arahan Yuichi Fukuda.
Ketua Pegawai Eksekutif Well Go USA, Doris Pfardrescher, sangat gembira dapat bekerjasama dengan Satria Dewa Studio dalam menayangkan filem superhero Indonesia ini di pasaran AS.
Mochtar Sarman, Naib Presiden Operasi Satria Dewa Studio, menzahirkan rasa bangga kerana filem mereka telah mendapat permintaan untuk ditayangkan di pawagam AS.
“Mendapat apresiasi dari negara-negara luar sungguh luar biasa. Semoga melalui filem ‘superhero’ Indonesia boleh peringkat antarabangsa,” kata Mochtar Sarman.
Satria Dewa: Gatotkaca dibarisi bintang-bintang hebat Indonesia seperti Rizky Nazar, Yasmin Napper, Omar Daniel, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman. Filem ini telahpun ditayangkan di pawagam Indonesia pada 9 Jun yang lalu, bakal tiba di pawagam Malaysia tidak lama lagi.