
Constantin Films dan Sony Pictures telah menetapkan tarikh tayangan filem reboot Resident Evil iaitu pada 3 September ini, menurut Deadline.
Filem ini akan menjadi kisah ‘origin’ rasmi kepada francais permainan video seram keluaran Capcom dan akan ditetapkan pada tahun 1998, pada waktu malam di kota Raccoon City ketika Umbrella Corporation melepaskan neraka dunia dan segalanya bergantung kepada beberapa yang terpilih untuk menghentikannya.
Barisan pelakon terdiri daripada Kaya Scodelario (The Maze Runner) sebagai Claire Redfield, Hannah John-Kamen (Ant-Man and the Wasp) sebagai Jill Valentine, Robbie Amell (Upload) sebagai Chris Redfield, Tom Hopper (Black Sails) sebagai Albert Wesker, Avan Jogia (Zombieland : Double Tap) sebagai Leon S. Kennedy, dan Neal McDonough (DC’s Legends of Tomorrow) sebagai William Birkin. Chad Rook (The Flash) dan Lily Gao (The Handmaid’s Tale) akan memainkan watak sampingan.
Robert Kulzer menjadi penerbit untuk Constantin Films, bersama James Harris dari produksi Tea Shop Productions dan Hartley Gorenstein. Sony Pictures akan menjadi pengedar untuk pasaran antarabangsa.
Filem terakhir dalam francais pertama Resident Evil, Resident Evil: The Final Chapter arahan Paul W.S. Anderson dan lakonan Milla Jovovich berjaya mengaut $26.8 juta di pasaran US dan $285.4 juta dolar di pasaran antarabangsa.
Diadaptasikan dari permainan video keluaran Capcom, Resident Evil telah mengutip lebih $1.2 billion seluruh dunia, dan menjadi francais adaptasi permainan video paling laris setakat ini.