Penarikan diri Wan Hasliza dari kerusi pengarahan filem Kalla tidak akan menganggu tarikh tayangannya yang telah ditetapkan pada Oktober ini. Pekara ini didedahkan sendiri oleh penerbitnya, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim.
Terdahulu, pengarah filem Wan Hasliza telah bertindak menarik diri dari mengarahkan filem tersebut kerana tidak sependapat dengan penerbitnya dalam beberapa pekara. Namun beliau sempat menyelesaikan penggambaran filem tersebut dan proses pos produksi dilakukan oleh pengarah lain.
Antara sebab pengunduran Wan Hasliza adalah kerana dia tidak bersetuju dengan pemilihan Ajai sebagai komposer untuk lagu runut bunyi berjudul “Percayakan Hati Kita” kerana dia sudah ada pilihan yang tersendiri. Selain itu juga, Wan Hasliza turut mahu menggunakan pasukannya sendiri untuk proses pos produksi yang mana Suhaimi tidak bersetuju.
Bagaimanapun, jelas Suhaimi, mereka tidak bergaduh atau bermasam muka antara satu sama lain kerana penarikan diri Wan Hasliza dibuat secara bertulis dan profesional, malah Wan Hasliza meminta pihak produksi menggunakan nama samarannya iaitu Alan Smithe untuk kredit.
Filem Kalla yang menelan belanja RM3 juta ini sepatutnya di tayangkan pada bulan September. Tetapi mereka terpaksa menukar tarikh ke 11 Oktober selepas membuat perbincangan dengan Skim Wajib Tayang.
Kalla berkisarkan tentang seorang profesor yang nekad mahu mencari pengganas yang telah menyebabkan isterinya mati dalam satu serangan bom. Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Vanidah Imran, Azhan Rani dan ramai lagi.
Sumber: Cinema Online