Penerbit Eksekutif Infinitus Productions, Gayatri Su-Lin Pillai memberitahu bahawa filem “J Revolusi” terpaksa melakukan penggambaran semula sebanyak tiga peratus selepas pihak pengurusannya di Hong Kong berasakan ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki.
Berikutan itu, filem terbitan bersama Grand Brilliance Sdn Bhd ini mengambil keputusan untuk membuat penggambaran semula supaya kualiti cerita dan kesan khas yang dihasilkan berkualiti.
“Sepanjang hampir 20 tahun membabitkan diri dalam indsutri filem tempatan, ini adalah pengalaman pertama saya melakukan penggambaran semula. Namun bagi mereka penambahan semula untuk sesetengah babak adalah perkara biasa dalam mana-mana filem.”
“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan komitmen kru produksi dan barisan pelakon kerana sudi melakukan penambahan untuk memantapkan lagi jalan cerita dan setiap watak dalam “J Revolusi”. Kami cuma menambah tiga peratus lagi babak aksi untuk filem yang memaparkan 40 peratus babak aksi,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Gayatri mengakui apabila dimaklumkan mengenai perlunya membuat semula penggambaran, dia membayangkan kerugian yang bakal ditanggung, tetapi semuanya berubah apabila melihat hasilnya.
Malah babak yang dibuat semula itu dilihat mampu memberi impak besar kepada penonton.
Filem yang menelan belanja RM3 juta ini menampilkan barisan pelakon tersohor tanah air seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nur Fazura, Izara Aishah, Iedil Putra dan ramai lagi.
“J Revolusi” bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 2 Mac depan.
Sumber: Cinema Online