Slot AsiaTrivia

Saksikan Filem-Filem Menarik Di Festival Filem Jepun (JFF) Ke-16 Mulai 5 September Ini

Views

Acara tahunan Festival Filem Jepun (JFF) kini memasuki tahun ke-16 penganjurannya. Sebanyak 13 filem Jepun merangkumi judul terkini dan tersohor daripada pelbagai genre seperti kekeluargaan, muzik dan komedi pastinya memikat hati dan minda penonton segenap usia. Ini juga memberi peluang kepada semua untuk menikmati koleksi filem ini di pawagam-pawagam Golden Screen Cinemas terpilih di seluruh negara.

Festival sebulan ini akan dimulakan dengan tayangan perdana filem arahan Imaizumi Rikiya “Little Nights, Little Love” untuk rantau Asia Tenggara pada malam pembukaan di Kuala Lumpur pada 3 September 2019. Ini ialah satu penghormatan kerana tayangan pembukaan filem ini di Jepun ialah pada 20 September.

Selain itu, tayangan khas filem-filem muzikal seperti “Farewell Song”, “Little Love Song” dan “La La La at Rock Bottom” juga menjadi tumpuan pada tahun ini.

Menariknya, JFF 2019 ini ialah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 The Japan Foundation, Kuala Lumpur sejak penubuhannya pada 1989.

Untuk makluman, semua filem ini akan ditayangkan dalam Bahasa Jepun dengan sarikata dalam Bahasa Inggeris. Peminat boleh melayari laman web jfkl.org.my/events/jff-2019 dan gsc.com.my untuk senarai penuh sinopsis, waktu tayangan dan maklumat am filem-filem tersebut.

WAKTU TAYANGAN (terbuka kepada orang awam yang membeli tiket)

Lembah Klang

5-11 September

  • GSC Mid Valley
  • GSC 1Utama
  • GSC Pavilion KL
  • GSC NU Sentral
Pulau Pinang

12-15 September

  • GSC Gurney Plaza
Johor Bahru

19-22 September

  • GSC Paradigm Mall JB

Kuching & Kota Kinabalu

3-6 Oktober

  • GSC CityONE Megamall, Kuching
  • GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu
UPACARA PEMBUKAAN (jemputan sahaja)
Lembah Klang

3 September, 7.00 malam

GSC Pavilion KL

Kuching

2 Oktober, 7.00 malam

GSC CityONE Megamall

TIKET

Tiket untuk JFF 2019 akan dijual pada harga RM9.00.

Tiket untuk semua tayangan boleh dibeli mulai 29 Ogos 2019 ke atas melalui GSC Box Office, Kiosk Tiket GSC, e-pembayaran GSC di gsc.com.my atau aplikasi GSC Mobile.

Senarai Filem Yang Bakal Ditayangkan

1. A Banana? At This Time of Night?

(こんな夜更けにバナナかよ / Konna Yofuke ni Banana kayo)

Pengarah: MAEDA Tetsu/前田/2018/121 minit / Drama, Komedi

Sejak berumur 12 tahun, Yasuaki Shikano menghidapi distrofi otot. Kini 34 tahun, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan hospital dan hidup berdikari dengan cara tersendiri. Sekumpulan sukarelawan diambil untuk membantunya dalam kehidupan seharian serta terpaksa menghadapi kerenahnya.

Yasuaki kerap memarahi Hisashi Tanaka, pelajar perubatan yang juga salah seorang sukarelawan dan kerap meminta buah pisang pada tengah malam. Yasuaki bertemu dan jatuh cinta pandang pertama terhadap Misaki Ando, tanpa mengetahui bahawa Tanaka dan Misaki sedang bercinta. Kehidupan mereka semua akan berubah tidak lama selepas itu.

2. Bento Harassment

(今日も嫌がらせ弁当 / Kyou mo Iyagarase Bento)

Pengarah: TSUKAMOTO Renpei/塚本連平/2019/107 minit / Drama, Keluarga

Kaori ialah ibu tunggal yang tinggal bersama anak perempuannya, Futaba yang sedang membesar dalam fasa memberontak dan sering mengabaikan ibunya. Filem ini mengisahkan tentang usaha Kaori untuk berkomunikasi, serta membalas semula perbuatan anaknya melalui mesej-mesej dalam makanan bentonya.

3. Brave Father Online – Our Story of FINAL FANTASY XIV

(光のお父さん / Hikari no Otousan)

Pengarah: NOGUCHI Teruo/野口照夫/2019 /115 minit / Drama, Komedi, Keluarga

Akio berharap agar hubungan dingin antaranya dan bapa, Akira berubah menjadi lebih baik. Pada satu hari, Akira secara tiba-tiba berhenti kerja tanpa menjelaskan tindakannya kepada keluarga. Menyedari peluang ini untuk

menjadi rapat dengan bapanya, Akio memberikannya sebuah perisian permainan online “Final Fantasy XIV”. Melalui personaliti online rahsia, dia mengajar bapanya cara bermain permainan tersebut. Ini membuatkan Akio lebih memahami bapanya melalui cara permainan dan pengembaraan bersama pemain lain, tanpa menyedari masalah sebenar yang Akira hadapi.

4. Café Funiculi Funicula

(コーヒーが冷めないうちに / Kohi ga Samenai Uchi ni)

Pengarah: TSUKAHARA Ayuko/塚原あゆ子/2018 /126 minit / Drama, Cinta, Keluarga

Kazu Tokita bekerja di kafe “Funiculi Funicula” yang diusahakan saudaranya, Nagare Tokita. Terdapat satu khabar angin mengatakan jika seseorang pelanggan duduk di satu tempat duduk tertentu di kafe tersebut, dia boleh melakukan perjalanan merentasi masa yang dikehendakinya. Sebanyak empat kejadian ajaib berlaku di kafe itu.

5. Color Me True

(今夜ロマンス劇場で / Konya Romansu Gekijo de)

Pengarah: TAKEUCHI Hideki/武内英樹/2018 / 109 minit / Drama, Cinta

Kenji ialah seorang penolong pengurus muda yang hanya menjalankan tugasan am di pejabat bercita-cita menjadi pengarah tersohor. Dia gemar menonton sebuah filem romantik lama tanpa warna yang hanya ditayangkan sebentar sebelum ianya ditarik semula daripada tayangan.

Satu hari, seorang puteri daripada filem tersebut iaitu Miyuki muncul ke dunia sebenar dan bersama-sama Kenji, mereka meraikan kehidupan sepenuhnya. Tanpa pengetahuan Kenji, Miyuki memiliki rahsia yang tidak terungkap.

6Farewell Song

(さよならくちびる / Sayonara Kuchibiru)

Pengarah: SHIOTA Akihiko/塩田明彦/2019/117 minit/Drama, Muzik

Di ambang populariti muzik indie mereka, kugiran dwiwanita Haru-Reo mengambil keputusan untuk berpecah. Bersama rakan jelajah mereka, Shima, mereka bertiga mengembara jalanan untuk persembahan yang terakhir. Sepanjang perjalanan merentasi desa, mereka menyedari bahawa perpecahan antara mereka hanya boleh dipulihkan di atas pentas.

7. La La La at Rock Bottom

(味園ユニバース / Misono Yunibasu)

Pengarah: YAMASHITA Nobuhiro/山下敦弘/2015 / 104 minit / Drama, Muzik, Komedi

Semasa persembahan sebuah kugiran di Osaka, seorang lelaki berlari naik ke pentas, menyambar mikrofon dan menyanyi dengan suara yang mempesona pendengar yang hadir.

Selepas persembahan, pengurus kugiran Kasumi menyedari bahawa lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang ingatan tentang kehidupannya melainkan bakat nyanyian. Kasumi berminat untuk bekerjasama dengannya dengan menamakannya “Pochi Otoko” (lelaki anjing). Tidak lama selepas itu, Pochi Otoko diterima sebagai penyanyi utama kugiran, tetapi masalah daripada masa lampaunya akan datang menghantui dirinya.

8. Little Love Song

(小さな恋のうた / Chiisana Koi no Uta)

Pengarah: HASHIMOTO Kojiro/橋本光二/2019/124 minit/Drama, Muzik, Muda

Mengisahkan kugiran sekolah tinggi yang popular di Okinawa, iaitu lokasi markas tentera Amerika Syarikat di Jepun. Kugiran ini mencipta lagu-lagu pop yang bertenaga dan mantap sehingga mampu menarik ramai peminat dan pengikut, termasuk pencari bakat label muzik terkemuka dari Tokyo yang mahu menerbitkan album mereka.

Dalam mereka menikmati kehidupan dan bersedia untuk meniti kejayaan, sebuah tragedi berlaku yang memusnahkan harapan serta semangat mereka. Kemudian, secara tiba-tiba seorang gadis yang tinggal di markas tentera AS muncul dengan pita rakaman demo sebuah lagu.

9. Little Nights, Little Love

(アイネクライネナハトムジーク / Aine Kuraine Nahatomujiku)

Pengarah: IMAIZUMI Rikiya/今泉力哉/2019 /120 minit / Drama, Cinta

Sato, penyelidik pasaran berusia 27 tahun tidak mempunyai teman wanita dan selalu berangan untuk sesuatu yang dramatik dalam kehidupan cintanya. Sukar mendapatkan responden untuk soal selidik yang dikendalikannya, pada satu hari seorang wanita cantik yang tidak dikenali bersetuju menjawab soal selidiknya. Sato kemudian menyedari keganjilan pada tangan wanita itu.

10. Lying to Mom

(鈴木家の嘘 / Suzukike no Uso)

Pengarah: NOJIRI Katsumi/野尻克己/2018 / 134 minit / Drama, Keluarga

Keluarga Suzuki terdiri daripada anak lelaki, Koichi; kakanya Fumi dan ibu bapa mereka, Sachio dan Yuko. Koichi ialah seorang hikikomori atau individu pendiam yang tinggal di rumah.

Pada satu hari, dia membunuh diri dan ini menyebabkan keluarga keliru dengan keputusannya. Ibunya Yuko pula pengsan akibat terkejut dengan kematian anaknya dan selepas itu berada dalam keadaan koma. Apabila sedar 49 hari kemudian, Yuko tidak mempunyai sebarang memori tentang kematian Koichi. Fumi kemudian memberitahu ibunya bahawa Koichi tidak lagi seorang hikikomori dan kini bekerja di Argentina.

11. My Dad is a Heel Wrestler

(パパはわるものチャンピオン / Papa wa Warumono Chanpion)

Pengarah: FUJIMURA Kyohei/藤村享平/2018 / 112 minit / Drama, Keluarga

Satu ketika dulu, Takashi Omura ialah seorang penggusti profesional popular. Kini sebagai penggusti jahat, dia memakai topeng berbentuk seekor lipas. Dia berkahwin dengan Shiori dan mempunyai anak lelaki, Shota yang bersekolah rendah yang langsung tidak mengetahui aktiviti Takashi. Satu hari, Shota mendapat tahu pekerjaan bapanya sebagai penggusti jahat bertopeng lipas. Terkejut, Shota berbohong tentang bapanya sebagai penggusti profesional popular kepada rakan sekelasnya.

12.Samurai Shifters

(引っ越し大名! / Hikkoshi Daimyo!)

Pengarah: INUDO Isshin/犬童一心/2019 /121 minit / Drama, Komedi

Pada zaman Edo, Shunnosuke Katagiri ialah seorang samurai dan ulat buku. Selain itu, dia ialah seorang pemalu, naif dan tidak berpengalaman. Pada satu hari, dia mendapat tugasan berkenaan perpindahan seorang daimyo yang diuruskan oleh seorang majistret. Dia meminta bantuan rakannya dari kecil, Genemon Takamura, serta nasihat daripada Oran, anak perempuan majistret yang cantik tetapi garang untuk membantunya menjalankan misi tersebut.

13. When I Get Home, My Wife Always Pretends to be Dead

(家に帰ると妻が必ず死んだふりをしています。/ Ie ni Kaeru to Tsuma ga Kanarazu Shinda Furi wo Shite Imasu)

Pengarah: LEE Toshio/李闘士男/2018 / 116 minit / Drama, Komedi

Satu malam setelah melalui hari yang mencabar, Jun tiba di rumah mendapati isterinya, Chie terbaring berlumuran darah. Dia menjadi panik dan pantas membantu isterinya sebelum menyedari sebotol sos tomato tidak jauh dari situ.

Menyedari isterinya berjenaka tentang “kematiannya”, Jun meminta penjelasan tetapi disambut dengan gelak ketawa. Selepas kejadian tersebut, setiap kali Jun pulang ke rumah dia akan menemui “mayat” isterinya dalam pelbagai keadaan. Ia menjadi semakin membimbangkan dengan cara “kematian” yang semakin pelik dan isterinya tidak pernah menjelaskan perkara sebenar di sebalik tindakannya.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks