Perayaan Tahun Baru Cina semakin hampir dan ramai dikalangan rakyat Malaysia akan bercuti pada perayaan tersebut. Itu yang seronoknya menjadi rakyat Malaysia kerana kita turut bersama berkongsi meraikan perayaan sesuatu kaum.
Jadi kepada yang bercuti, anda pasti ingin meluangkan sedikit masa menonton filem-filem menarik di panggung wayang bukan? dan anda juga mungkin mahu mengubah sedikit angin menonton filem-filem berbahasa cina sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Kami di Kakimuvee ingin kongsikan filem-filem Cina yang menarik untuk ada tonton sempena minggu perayaan ini.
Monster Hunt 2
PG13 | Fantasi/Pengembaraan | 15 Februari 2018
Pengarah: Raman Hui | Pelakon: Tony Leung, Bai Baihe, Jing Boran, Li Yuchun dan Tony Yang
Sekuel kepada siri pertama yang diterbitkan pada tahun 2015. Selepas terpisah dengan keluarga manusianya, Wuba perlu melarikan diri diburu oleh pemburu-pemburu upahan. Semasa melarikan diri, Wuba dijaga oleh seorang lelaki bernama Tu, yang merupakan seorang penjudi yang dipenuhi dengan hutang.
The Monkey King 3
PG13 | Fantasi/Pengembaraan | 15 Februari 2018
Pengarah: Cheang Pou-soi | Pelakon: Aaron Kwok, Feng Shaofeng, Zhao Liying, Xiaoshenyang dan Him Law
Aaron Kwok kembali dalam filem epik pengembaraan ini sebagai Sun Wukong. Mengisahkan Tang Sanzang bersama-sama tiga pengikutnya yang pergi ke negeri Xi Liang dimana kesemua penduduk dinegeri tersebut adalah wanita dan mereka tidak pernah melihat lelaki sejak kewujudan negeri tersebut.
A House of Happiness
PG13 | Komedi Drama | 15 Februari 2018
Pengarah: JY Teng | Pelakon: Richard Ng, Mimi Chu, Chan Fong, Cheryl Lee
Filem tempatan yang mengisahkan Liong Gor yang terpaksa pulang dari bandar untuk menjaga ayahnya Uncle Shui yang sedang mengalami penyakit Alzheimer. Sifat Uncle Shui yang pemarah disebabkan penyakit berubah selepas dia berjumpa dengan seorang wanita yang mirip dengan isterinya yang sudah meninggal dunia.
Thing Big Big
PG13 | Komedi Drama | 15 Februari 2018
Pengarah: Chiu Keng Guan | Pelakon: Serene Lim, Fabian Loo, Vivienne Oon, Ruby Yap, Moon Yoong, Joanne Lau, dan Keigrey Kam
Thing Big Big mengisahkan Moon seorang wanita berbadan gempal yang gembira bekerja sebagai maskot di sebuah taman tema. Satu hari dia secara tidak sengaja menyertai pertandingan menguruskan badan, menukarnya menjadi `Nation Goddess`. Netizen mula memberi perhatian kepadanya membuatkan hidupnya bertukar menjadi huru-hara. Dia perlu mencari jalan untuk kembali gembira dan mendapat semula sokongan daripada ibu bapa dan rakan-rakannya.
A Beautiful Moment
PG13 | Romantik komedi | 15 Februari 2018
Pengarah: Patrick Kong | Pelakon: Carina Lau, Michelle Wai, and Simon Yam
Seorang playboy berusia yang telah menjumpai kekasih hatinya iaitu seorang gadis muda dan telah melamar gadis tersebut. Semasa sedang dalam persiapan untuk berkahwin, playboy tersebut kemudian mendapati, ibu tiri tunangnya itu merupakan bekas kekasihnya yang pertama. Keadaan mula menjadi kelam kabut dan merumitkan buat mereka.
Agent Mr. Chan
PG13 | Aksi Komedi | 15 Februari 2018
Pengarah: Jeff Cheung Ka Kit | Pelakon: Dayo Wong, Charmaine Sheh, Cecilia So, C-Kwan
Dayo Wong membawa watak sebagai ejen hebat Mr. Chan, yang secara tiba-tiba mendapati dirinya dipecat selepas rakan setugasnya Wonder Child secara tidak sengaja menyinggung seorang anggota polis wanita, Ms. Shek (Charmaine Sheh). Tetapi apabila kes dadah berleluasa, Mr. Chan telah dipanggil balik untuk menyelesaikan kes. Dia menerima kes itu walaupun terpaksa bekerjasama dengan Ms. Shek. Kedua-dua mereka berdepan pelbagai cabaran ketika bekerjasama, tetapi akhirnya jatuh cinta.
Staycation
PG13 | Komedi Kekeluargaan | 22 Februari 2018
Pengarah: Johnson Lee | Pelakon: Johnson Lee, Louisa So, Ti Lung, Chin Siu Ho, Andrew Lam
Fai, seorang ketua keluarga yang tradisional telah membawa isteri dan anak-anaknya ke sebuah kawasan perkelahan terpencil, tempat sama di mana dia melamar isterinya lima belas tahun lalu, untuk percutian tanpa sebarang gajet. Perkara tidak berlaku seperti yang dirancang walaupun dia mahu eratkan hubungan keluarga. Mereka diganggu oleh bapa Fai yang merasakan anak lelakinya tidak berguna, abang Fai yang bermasalah, sebuah keluarga kaya terperangkap dalam teknologi VR, seorang penjaga tempat perkelahan misteri dan cinta pertamanya.
Amazing Titanman
PG13 | Komedi Sains Fiksyen | 22 Februari 2018
Pengarah: Eddie Tiger | Pelakon: Jaguar Lim, Namewee, Mehrdad Razavi Mozart, Azman Hassan
Filem terbaru arahan Eddie Tiger yang menampilkan Jaguar Lim sertan penampilan istimewa, Namewee. Mengisahkan satu makhluk asing yang turun ke Bumi dan berniat jahat untuk membuat onar. Pasukan keselamatan berusaha mengesan makhluk asing itu bagi menghalang perbuatan jahatnya itu.
Operation Red Sea
PG13 | Aksi Perang | 22 Februari 2018
Pengarah: Dante Lam | Pelakon: Prince Mak, Zhang Yi, Hai Qing, Du Jiang, Huang Jingyu
Filem perang terbitan China-Hong Kong ini diadaptasikan dari operasi menyelamat & memindahkan rakyat asing yang turut terdiri dari rakyat China oleh pasukan tentera semasa perang saudara Yaman yang berlaku pada 2015.
Ia Jiaolong Assault Team adalah salah satu pasukan elit di dunia, ia terdiri daripada lapan anggota dalam misi menyelamat di Republik Afrika Utara. Ketika misi menyelamat sedang dijalankan, pasukan itu diserang hendap menyebabkan ramai yang mengalami kecederaan. Dengan ketua pengganas kini mempunyai bahan penting untuk menghasilkan senjata nuklear, pasukan itu perlu menyelamatkan orang mereka dan juga bahan tersebut.