Slot Tempatan

FDAM Kesal Tidak Dipanggil Untuk Bincangkan SOP Penggambaran

Views

Walaupun diberi kebenaran untuk menyambung aktiviti penggambaran, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) kesal dan kecewa dengan tindakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menyenaraikan prosedur operasi standard (SOP) untuk membenarkan syarikat produksi kembali menjalani penggambaran tanpa merujuk kepada mereka yang terbabit dalam bidang itu.

Menurut laporan Harian Metro, presiden FDAM Ahmad Ibrahim atau Mat London menjelaskan bahawa pihak terbabit sepatutnya memanggil mereka yang bekerja secara langsung dalam industri berkenaan sebelum membentangkan SOP itu selain boleh diadakan sesi soal jawab.

“Jadi, budaya kerja kita boleh diperjelaskan dan mereka pun boleh faham cara kerja-kerja penggambaran. Banyak perkara yang perlu dibincangkan terlebih dahulu,” katanya dalam sesi Bual Bicara Covid-19: Kesan Kepada Industri Penerbitan TV Malaysia yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Turut sama, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli; Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Kapten Khir Mohd Noor.

BACA:  Kementerian Beri Lampu Hijau Teruskan Aktiviti Perfileman, Tetapi Perlu Mematuhi SOP Ketat

Selain itu, Ahmad Ibrahim turut mempersoalkan beberapa SOP yang dibenarkan seperti jumlah maksimum 20 tenaga produksi dan pelakon serta tempoh kuarantin selama sebulan dikatakan terlalu lama.

“Apa beza antara 20 dengan 25 orang? Apa bezanya sekiranya jumlah maksimum 30 orang? Mengenai tempoh kuarantin, kalau boleh pendekkan kerana tempoh sebulan itu terlalu lama,” katanya.

Menurutnya, kini terdapat 40 syarikat produksi yang terpaksa berhenti daripada menjalani penggambaran dan ada kerja-kerja yang tergendala.

“Jadi, selepas ini akan ada 40 pengarah memulakan penggambaran semula dan membabitkan lebih kurang 600 pekerja termasuk pelakon.

“Jika tempoh kuarantin memakan masa lagi sebulan, apa yang mereka nak makan? Kalau dua minggu, masih boleh diterima. Itu perlu dibincangkan semula dengan lebih teliti. Jadi, saya mohon pihak kementerian boleh menimbang tara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan kebenaran untuk penggiat industri perfileman meneruskan aktiviti mereka selepas sambutan Aidilfitri.

Dalam masa sama, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya semalam menjelaskan kebenaran hanya diberikan bermula akhir Jun ini dan perlu memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan.

Sumber: Harian Metro

Tinggalkan Balasan

shares