
Filem Escape from Mogadishu telah mencipta pencapaian mengagumkan di pentas Box Office Korea Selatan.
Pada 13 Ogos, Lotte Entertainment mengumumkan bahawa, sehingga 12 tengahari semalam, Escape from Mogadishu secara rasmi melepasi 2 juta penonton di panggung wayang. Filem tersebut telah ditayangkan pada 28 Julai yang lalu, dan mengambil masa selama 17 hari untuk mencapai rekod mengagumkan itu.
Untuk info, Escape from Mogadishu menjadi filem Korea pertama tahun 2021 yang berjaya menarik lebih dua juta penonton – prestasi yang sangat luar biasa kerana kerajaan Korea pada masa ini meletakkan bandar Seoul di bawah garis panduan jarak sosial yang paling ketat.
Selain itu juga, filem ini turut menjadi filem Korea yang paling pantas mencapai 2 juta penonton sejak filem Deliver Us from Evil, yang telah ditayangkan pada Ogos 2020/
Bagi meraikan pencapaian itu, bintangnya, Kim Yun Seok, Jo In Sung, Heo Joon Ho, Koo Kyo Hwan, Kim So Jin, Jung Man Sik, Kim Jae Hwa, dan Park Kyung Hye merakamkan video penghargaan kepada penonton yang hadir menonton filem mereka.
Berdasarkan peristiwa sebenar, Escape from Mogadishu adalah sebuah filem tentang pekerja kedutaan Korea Selatan dan Korea Utara yang terperangkap di tengah-tengah Perang Saudara Somalia dan berusaha untuk melarikan diri dari kawasan konflik. Ia sebelum ini menjadi filem Korea pertama tahun 2021 yang melepasi 1 juta penonton filem awal bulan ini.
Sumber: Soompi