BeritaSlot Tempatan

Ejen Ali The Movie Kini Mengumpul RM25 Juta, Bakal Ditayangkan Di Indonesia Pada 1 Januari Ini.

Lebih 2 juta penonton dalam masa 3 minggu!

Views

Filem EJEN ALI THE MOVIE terus menguasai carta perfileman tempatan setelah hampir tiga minggu ditayangkan di pawagam  walaupun menerima saingan sengit daripada filem-filem antarabangsa yang lain. Filem EJEN ALI THE MOVIE terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation, berjaya mengungguli carta filem pecah panggung dengan meraih kutipan sebanyak RM25 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, Kami merasa amat gembira di atas sokongan yang kami terima dari keluarga, peminat serta rakan industri animasi Malaysia yang lain. Setiap tiket yang dibeli dan setiap respon yang dikongsi oleh mereka menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ini. Sambutan ‘luar biasa’ yang diterima dari penonton fIlem EJEN ALI THE MOVIE di Malaysia membuka ruang dan peluang kepada kami untuk terus berkembang serta melebarkan sayap ke negara jiran, Indonesia. 

Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation menambah, Pencapaian luar biasa filem EJEN ALI THE MOVIE  di Malaysia telah mewujudkan gelombang fenomena yang  turut dirasakan di Indonesia. Kami menerima pelbagai respon dari peminat-peminat di Indonesia.  Rata-rata dari mereka bertanya akan tarikh tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE di pawagam Indonesia. Bukan itu sahaja, seorang peminat tegar Ejen Ali sanggup terbang dari Indonesia ke Malaysia semata-mata kerana ingin menonton filem EJEN ALI THE MOVIE.  Kami merasa sangat terharu dengan sokongan yang diterima dan hari ini, kami membuat pengumuman rasmi tentang tarikh tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE di Indonesia. Kami menjemput semua Ejen-Ejen Indonesia untuk menonton dan  menyertai misi Ejen Ali mencipta rekod pecah panggung di Indonesia! 

Sempena kedatangan tahun baru 2020, EJEN ALI THE MOVIE mengumumkan tayangannya di pawagam terpilih Indonesia bermula 1 Januari 2020 iaitu di CGV, Flix cinemas, Kota Cinema dan Cinemax.

Pelbagai kandungan eksklusif dari filem EJEN ALI THE MOVIE telah dimuatnaik di plaform digital. Bermula dengan ‘lip-sync’ lagu bergenre rap, Bukalah Matamu yang menampilkan Ejen-Ejen muda dari MATA Academy, yang mana video ini telah meraih lebih dari 300 ribu jumlah tontonan dalam masa sehari di laman YouTube.

Selain dari itu, atas permintaan ramai, skor muzik OST (Original Soundtrack) lagu ‘Mama’ yang diambil dari salah satu adegan yang telah berjaya meruntun jiwa penonton yang mana ia mempamerkan kesedihan Ali sewaktu meratapi pemergian ibunya, mula ditayangkan di Youtube pada hari Jumaat, 20 Disember 2019. 

Lagu ‘Mama’ telah dinyanyikan oleh Ida Rahayu Yusoff yang juga merupakan pelakon suara latar bagi watak Ejen Ali.

EJEN ALI THE MOVIE dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad dengan kerjasama Mydin dan Pediasure, kini masih ditayangkan di 134 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei. Animasi ini mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet  istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System).

Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Tinggalkan Balasan

shares