
Filem animasi tempatan Ejen Ali the Movie dinobatkan Filem MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), yang berlangsung malam tadi. Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin mengakui terharu dengan sokongan padu pengikut yang sekali gus membuktikan bahawa filem animasi itu sememangnya disukai ramai.
“Tidak dinafikan, memang impian untuk menang ada selepas mendapat pencalonan itu. Tak sangka Ejen Ali The Movie menang disebabkan calon lain juga filem bernama besar.
“Bagi saya, ini adalah testimoni bahawa kerja-keras dan usaha pasukan WAU Animation bersama Primeworks Studios berbaloi. Kemenangan ini adalah hasil kejayaan semua yang terbabit merealisasikan filem itu.
“Kejayaannya menyatukan pengikut daripada pelbagai lapisan masyarakat, keluarga, adalah sangat membanggakan kami. Kami sangat bertuah tidak lekang daripada mendapat sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya kepada Harian Metro.
Ejen Ali The Movie diterbitkan oleh WAU Animation dan Primeworks Studios, dan ditayangkan pada November tahun lalu. Filem animasi ini telah mencapai beberapa kejayaan yang cukup besar termasuklah kutipan sebanyak RM30 juta dan memenangi Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2020 bagi kategori Arahan Terbaik (Fiksyen).