
Berikutan kematian tragis sinematografi Halyna Hutchins, Dwayne Johnson telah berjanji untuk tidak lagi menggunakan senjata api sebenar di set penggambaran filem pada masa hadapan.
Dalam temubual dengan Variety semasa tayangan perdana filem terbarunya, Red Notice, Johnson berkata dia sangat terkejut dan “patah hati” dengan berita kematian Hutchins dalam set penggambaran filem Rust lakonan Alec Baldwin. “Pertama, saya sangat sedih,” kata Johnson. “Kita kehilangan nyawa. Saya ucapkan takziah kepada keluarganya dan semua orang di set. Saya juga mengenali Alec, untuk masa yang cukup lama.”
Pelakon dan penerbit itu seterusnya berkata bahawa pada masa hadapan, dia hanya akan menggunakan pistol getah di set penggambaran dan akan memastikan untuk menguatkuasakan peraturan itu dengan mana-mana studio yang dia bekerjasama pada masa hadapan.
“Saya tidak boleh bercakap untuk orang lain, tetapi saya boleh memberitahu anda, mana-mana filem yang bekerjasama dengan Seven Bucks Productions — mana-mana filem, mana-mana rancangan televisyen, atau apa sahaja yang kami lakukan atau terbitkan — kami tidak akan menggunakan senjata sebenar sama sekali,” kata Johnson.
“Kami akan beralih kepada pistol getah, dan akan menguruskannya semasa pasca-produksi,” katanya. “Kami tidak bimbang dengan dolar; kami juga tidak akan bimbang dengan kosnya.”