Filmscape Sdn Bhd tampil kelainan menerusi drama terbaru mereka bergenre psiko thriller berjudul “Di Sebalik Wajah”, apabila ia akan diberi sentuhan ala filem dari segi kerja kamera dan pengarahan.
Malah drama bersiri 30 episod ini juga akan menampilkan Patrick Lim sebagai pengarah yang sebelum ini mengarah di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Sejurjurnya ini adalah drama Melayu pertama arahan saya. Selama ini saya lebih banyak mengarah filem seperti di L.A. dulu, namun apabila dapat tawaran projek ini saya berasa teruja.
“Bukan apa, genre drama ini sangat menarik dan berasakan ia satu cabaran untuk saya. Pada masa sama, saya boleh menggunakan pengalaman yang ada ketika mengarahkan drama ini. Oleh itu saya nekad untuk memberi sentuhan drama itu seperti sebuah filem. Bagi saya genre sebegini sangat sesuai,” ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.
Tambah pengarah berusia 48 tahun ini lagi, dia berbangga dengan kualiti filem arahannya kerana ia jauh berbeza dengan drama-drama lain.

Dalam pada itu, Patrick yang sebelum ini mempunyai pengalaman lebih tujuh tahun di Amerika Syarikat mengarah filem pendek, video muzik dan iklan komersial, mengakui pada mulanya dia sedikit takut juga kerana bimbang pengarahannya tidak menepati apa yang dimahukan pihak penerbit.
Namun dia kemudian berasa lega apabila mendapat maklum balas positif daripada pihak TV yang memuji drama arahannya seperti menonton filem.
“Di Sebalik Wajah” dibintangi oleh Diana Danielle, Aliff Aziz dan Hefny Sahad sebagai peneraju.
Ia akan ditayangkan pada 1 Mei di saluran Hypp Sensasi untuk HyppTV.
Sumber: Cinema Online