BeritaSlot Tempatan

Dendam Pontianak Menghantui Pawagam Mulai 12 September Ini

Views

PETALING JAYA, 3 September 2019 - Filem terbitan Tiger Tiger Pictures dan edaran Primeworks Studios yang menggandingkan Nur Fazura dan Remy Ishak buat pertama kalinya di layar perak bakal menemui penonton mulai 12 September 2019 ini di Malaysia.

'Dendam Pontianak', ialah sebuah filem yang diarahkan dan ditulis oleh Glen Goei dan Gavin Yap, mengenai kehidupan sepasang suami isteri yang baru sahaja berkahwin dan dibelenggu dengan 'Dendam Pontianak', yang memaksa mereka terjerumus ke lembah pengkhianatan, ilmu hitam dan pembunuhan. 

’Pontianak’ dalam mitos negara Asia Tenggara merujuk kepada roh wanita mengandung yang mati ketika sedang melahirkan anak yang dipenuhi dengan dendam. Ia merupakan salah satu cerita dongeng seram Asia yang paling digeruni, tetapi pada hakikatnya Pontianak adalah sebuah kisah tragis tentang cinta dan kehilangan. Mitos tentang Pontianak ini adalah satu cara yang sempurna untuk menggabungkan elemen yang menjadikannya sebagai sebuah kisah tragis Asia dan menakutkan dan unik untuk tatapan penonton global tentang genre seram. Dengan adanya filem ini, pengarah dapat menghargai filem seram yang ditambah juga unsur revisionism dan kontemporari.

“Titik permulaan saya untuk mencetuskan idea penceritaan filem ini adalah bermula dengan persoalan demi persoalan tentang Pontianak mengapa ianya menjadi satu figura yang sangat menakutkan sejak berabad yang lalu walhal ianya hanya seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan seorang bayi. Apakah kesilapannya sehingga kita menggelarkan ia sebagai salah satu roh yang jahat?” kata pengarah dari Singapura, Glen Goei.

“Cabaran utama kami adalah menghasilkan sebuah idea yang lebih segar dan terkini untuk membuat jalan penceritaan menjadi lebih menarik dan pada masa yang sama, mengekalkan elemen klasik dari filem-filem Pontianak tahun 50-an dan 60-an. Semua kisah bergenrekan Pontianak rata-ratanya menjurus kepada dendam dan amarah. Jadi persoalannya, bagaimanakah cara untuk kami mengekalkan motif yang sama tapi melihat dari sudut yang baharu? Bagi kami sendiri, caranya adalah untuk lebih fokus pada watak Pontianak itu sendiri dan tentang kisah peribadinya. Siapakah dia dan apakah yang terjadi kepadanya sebelum dia menjadi Pontianak? Filem ini juga meneroka kebarangkalian sifat rakus yang wujud dalam diri manusia. Jika diuji tahap kesabarannya, tidakkah manusia itu sendiri juga akan berubah dan memberontak? 

“Intipati filem ini adalah tentang cinta dan apakah akibatnya jika cinta sejati itu dikhianati. Segala penceritaan dan paparan tragedi baik dan buruk yang menimpa semua watak-watak di dalam filem sememangnya bermula dari cinta.”

“Harapan saya untuk filem ini supaya ia dapat menghiburkan penonton, itu menjadi adalah objektif utama dalam setiap pembikinan filem. Saya juga berharap menerusi filem ini dapat memperkenalkan semula kisah Pontianak kepada generasi baru yang kini lebih terbuka untuk menonton filem ke pawagam dan sekaligus dapat bersama dapat merasakan perasaan teruja untuk menonton filem seram yang mempunyai elemen klasik. Dalam masa yang sama, ia dapat menggalakkan penonton dan peminat untuk menonton kembali filem-filem klasik yang seram terdahulu”, kata Gavip Yap, salah seorang pengarah filem Dendam Pontianak.

“Kami sangat teruja diberi peluang untuk bekerjasama dengan Tiger Tiger Pictures untuk menayangkan filem seram ini di Malaysia dan kami juga tidak sabar menunggu reaksi para peminat dan penonton untuk menikmati filem yang sangat dinanti-nantikan ini. Selain daripada menghasilkan filem tempatan yang berkualiti tinggi, seperti Sangkar dan Pulang, Primeworks Studios akan terus membawa filem-filem terbaik serantau di mata Asia", ulas Puan Nor Shahila Shah, Pengurus Besar Filem dan Drama, Primeworks Studios.

Filem ini buat pertama kalinya menggandingkan dua pelakon ternama di Malaysia iaitu Nur Fazura dan Remy Ishak di layar lebar sebagai teraju utama. Turut membintangi filem seram-romantik ini adalah Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Nam Ron, Tony Eusoff, Nadiah M.Din, Wan Hanafi Su, Nadia Aqilah dan Nik Harraz Danish

Selain itu, salah satu kelebihan untuk filem ini adalah gabungan krew produksinya yang sangat berbakat dari negara-negara serantau antaranya ialah Penataan Busana oleh Akma Suriati Awang, Penyunting hebat filem Shutter oleh Lee Chatametikool, Penataan Bunyi oleh Akritchalerm Kalayanamitr (pemenang Cannes Palme d'Or untuk Uncle Boomee Who Can Recall His Past Lives), Perunding Visual oleh Christopher Doyle (In The Mood For Love) dan Pengarah Sinematografinya oleh Jon Keng. 

Dato’ Seri Siti Nurhaliza juga tampil dengan lagu terbaru bertajuk ‘Kekasihku Selamanya’ yang menjadi runut bunyi utama bagi filem ini. Berkongsi pengalaman ketika merakamkan lagu ini, ini adalah pertama kali beliau menyanyikan lagu untuk sebuah filem seram yang ia telah dijalankan sekitar tiga bulan lalu. Menurutnya, lagu tersebut mempunyai aura seram yang tersendiri yang dicipta oleh komposer terkenal Aubrey Suwito dan lirik oleh Ad Samad.

Dendam Pontianak, mula mengilai di pawagam Malaysia mulai 12 September 2019

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks