Pengarah Suicide Squad, David Ayer dilaporkan sedang berunding dengan studio Warner Bros. untuk ketuai projek remake filem perang klasik The Dirty Dozen. Menurut laporan The Hollywood Reporter, Ayer akan ditugaskan untuk menulis dan mengarahkan projek terbaru itu
Filem asal yang diterbitkan pada 1967 mengisahkan tentang Mejar Jeneral Sam Woren (Ernest Borgnine) yang ditugaskan untuk membentuk sebuah pasukan berani mati yang terdiri daripada penjenayah tentera. Mereka dilatih dan diberi tugasan untuk membunuh pegawai tertinggi Nazi sebagai pertukaran kepada hukuman tentera. Filem perang klasik itu turut dibintangi pelakon seperti Lee Marvin, Charles Bronson, Telly Savalas, Donald Sutherland dan ramai lagi.
Ayer bukanlah nama asing dalam pembikinan filem perang. Dia pernah mengarahkan filem Fury lakonan Brad Pitt yang menjadi kegemaran peminat. Selain itu juga, Ayer turut menamakan The Dirty Dozen sebagai inspirasinya untuk menghasilkan filem DC Suicide Squad, yang mana menjadi kejayaan komersial untuk pihak studio walaupun dikritik teruk peminat.
Projek remake itu akan menyaksikan Ayer bekerjasama dengan Simon Kinberg (X-Men, Murder on the Orient Express) yang bertindak selaku penerbit. Setakat ini, perancangan masih lagi diperingkat awal, dan barisan pelakon masih lagi tidak diketahui.