Bintang filem Transformers dan American Honey, Shia LaBeouf kembali bekerjasama dengan pengarah filem David Ayer dalam filem bergenre jenayah thriller berjudul Tax Collector. Menurut laporan The Hollywood Reporter, filem tersebut juga bakal dibintangi aktor Bobby Soto.
Filem tersebut ditulis dan diarahkan oleh David Ayer dan dikatakan akan menyamai konsep filem-filem awal pengarah tersebut. David Ayer dan Chris Long menerusi syarikat produksi Cedar Park Entertainment akan menerbitkan filem ini bersama-sama syarikat produksi Cross Creek. Cross Creek sebelum ini pernah menerbitkan beberapa filem hebat antaranya Hacksaw Ridge, Black Mass, Roman J. Israel, Esg., The Ides of March, dan Black Swan.
Ini merupakan kali kedua Shia LaBeouf dan David Ayer bekerjasama. Sebelum ini kedua-duanya pernah berkolaborasi dalam filem perang Dunia Kedua berjudul Fury.
Buat masa ini tiada tarikh rasmi tayangan diumumkan, bagaimanapun penggambaran akan bermula pada musim panas ini di Los Angeles