Selepas kontroversi “whitewashing” sehingga menyebabkan Ed Skrein terpaksa mengundurkan diri dari terlibat dalam pembikinan filem Hellboy, pelakon siri TV Hawaii Five-0, Daniel Dae Kim dilaporkan dalam proses perbincangan dengan pihak studio Lionsgate dan Millennium untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh bekas pelakon Deadpool itu.
Menurut laman hiburan The Hollywood Reporter, pelakon tersebut akan membawakan watak Major Ben Daimio (watak yang ditinggalkan oleh Ed Skrein), seorang anggota tentera dalam Bureau for Paranormal Research and Defense yang bertukar menjadi jaguar disebabkan terkena sumpahan.
Menurut versi komik, karakter Major Ben Daimio merupakan karakter berketurunan Japanese-American, dan menggunakan pelakon berkulit putih, bukannya pelakon berketurunan Asia menyebabkan peminat komik tersebut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan pelakon untuk karakter terbabit.

Filem Hellboy terbaru ini dibintangi oleh David Harbour (Stranger Things) yang akan membawakan watak Hellboy disamping beberapa nama lain seperti Ian McShane yang akan membawakan watak bapa angkat Hellboy iaitu Professor Trevor Bruttenholm, Milla Jovovich yang akan membawakan watak villain The Blood Queen, Sasha Lane yang membawakan watak Alice Monaghan, dan Penelope Mitchell yang akan membawakan watak ahli sihir Ganeida.
Hellboy akan memulakan pengambaran mereka pada bulan ini dan dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.