
Pelakon Korea yang semakin mencipta nama di Hollywood, Claudia Kim telah memilih agensi YG Entertaiment untuk mengurusnya.
Menerusi kenyataan rasminya, agensi itu tidak sabar membantu Soo Hyun melebarkan lagi sayapnya.
“Kami sangat gembira dapat menandatangani Soo Hyun yang berjaya menaikkan nama serta memperkenalkan lagi budaya Korea Selatan di mata dunia.
Kami merancang memperluaskan lagi kariernya sebagai pelakon.
“Walaupun mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai pihak di seluruh dunia, kami ingin bantu mengemudi hala tuju kariernya. Kami berjanji akan membantunya dari pelbagai sudut supaya dia boleh lebih fokus dalam setiap aktiviti seninya,” kata agensi itu.
Claudia mula mencipta nama di persada antarabangsa apabila menyertai filem terbitan Maravel, “Avengers: Age of Ultron” pada 2015 dengan menggalas watak sebagai Dr. Helen Cho. Dia kemudiannya membintangi beberapa filem Hollywood yang lain seperti “Equals”, “The Dark Tower” dan “Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald”. Dia turut terbabit menjayakan siri Netflix berjudul Marco Polo.
Sementara di Korea Selatan, pelakon itu telah membintangi beberapa drama termasuklah “Monster”, “7th Grade Civil Servant”, “Brain” dan “Romance Town”.
Peminat kini tidak sabar melihat kerjayanya diuruskan YG Entertainment yang terbukti sebuah agensi tersohor.
Sumber: Harian Metro