
Cillian Murphy telah menandatangani kontrak untuk memainkan peranan utama dalam filem terbaru Christopher Nolan bertajuk Oppenheimer, lapor Deadline
Murphy akan memainkan peranan sebagai saintis J. Robert Oppenheimer dalam filem drama biografi terbitan Universal Pictures, dan Snycopy, syarikat produksi milik Nolan. Tarikh tayangan telah ditetapkan pada 21 Julai 2023.
“Thriller epik yang dirakam menggunakan IMAX mendorong penonton ke paradoks yang mendebarkan, tentang lelaki misteri yang mesti mengambil risiko untuk memusnahkan dunia demi menyelamatkannya,” menurut logline dari sumber.
Oppenheimer berdasarkan buku pemenang Hadiah Pulitzer, American Prometheus: The Triumph and Tragedy of J. Robert Oppenheimer karya Kai Bird dan mendiang Martin J. Sherwin. Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Nolan, dengan Universal Pictures dijangka mengedarkan filem ini di pawagam seluruh dunia. Emma Thomas, Charles Roven dan Nolan akan menjadi penerbit.
Filem ini dijangka memulakan produksi pada awal 2022, dan dilaporkan akan dirakam dengan mnggunakan kombinasi IMAX 65mm dan format-besar filem 65mm.
J. Robert Oppenheimer adalah ahli teori fizik Amerika dan profesor fizik yang menjadi ketua Makmal Los Alamos sewaktu Perang Dunia Kedua. Dia termasuk di antara mereka yang dikreditkan sebagai “bapa bom atom” untuk peranan mereka dalam Projek Manhattan, yang merupakan usaha untuk mencipta senjata nuklear pertama. Oppenheimer juga terkenal dengan kata-katanya, “Sekarang saya menjadi Kematian, pemusnah dunia,” merujuk pada kitab suci Hindu Bhagavad Gita setelah berjaya meletupkan bom atom pertama pada 16 Julai 1945.