Pelakon terkenal tempatan, Bront Palarae melahirkan rasa teruja apabila filem lakonannya, Gundala telah dipilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto (FFAT 2019) yang akan berlangsung di Toronto, Kanada.
Ketika bercakap Kosmo Online baru-baru ini, Bront berbesar hati kerana dijemput oleh pihak produksi untuk membintangi filem Gundala yang juga merupakan filem adiwira pertama di Indonesia.
“Sebenarnya saya cukup berbesar hati kerana dijemput untuk sama-sama terlibat sebagai pelakon dalam filem adiwira pertama yang diterbitkan di Indonesia.
“Lebih seronok, saya berpeluang bermain dengan pelakon-pelakon hebat seberang seperti Cecep Arif Rahman, Abimana Aryasatya dan Luqman Sardi,”
Dalam filem itu nanti, Bront memainkan peranan antagonis bernama Pengkor yang menjadi musuh kepada Sancaka atau nama adiwiranya Gundala yang dilakonkan oleh Abimana Aryasatya.
Diarahkan oleh Joko Anwar, ia merupakan kolaborasi ketiga antara Bront dan pengarah tersebut. Sebelumnya, dia telah membintangi dua buah filem arahan Joko iaitu Pengabdi Setan dan siri Halfworlds yang ditayangkan di saluran HBO Asia.
Gundala adalah satu-satunya filem dari Asia Tenggara yang terpilih untuk bersaing di festival filem itu nanti samping beberapa filem terkenal yang lain seperti Joker arahan Todd Phillips, Radioactive dan filem yang dibintangi Daniel Craig dan Chris Evans berjudul Knives Out.
FFAT akan berlangsung selama 11 hari bermula pada 5 hingga 15 September depan dan merupakan festival filem terbesar di seluruh dunia.
Sumber: Cinema Online