Filem animasi tempatan BoBoiBoy The Movie terus melakar kejayaan apabila ia ditayangkan di seluruh Korea Selatan bermula hari ini, sekaligus menjadikan filem terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd atau kini lebih dikenali sebagai MONSTA ini, menjadi filem pertama Malaysia yang berjaya tembusi pasaran di negara itu.
Malah filem yang diangkat dari siri animasi televisyen popular BoBoiBoy The Movie ini turut dialih bahasa kepada Bahasa Korea yang akan ditayangkan di lebih 100 pawagam.
“Kesemua pawagam utama seperti Lotte, CGV dan Megabox akan menayangkan filem ini ke seluruh negara berkenaan.”
“Kita biasanya mendengar filem atau drama Korea yang dibawa masuk ke Malaysia, namun amatlah jarang sekali ataupun tidak pernah lagi didengari filem Malaysia berjaya masuk ke pasaran Korea Selatan,” kata Ketua Penjenamaan dan Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin yang dipetik dari Utusan Online.
Tambah Faiz lagi, Korea Selatan menjadi negara kelima selepas Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia yang menayangkan filem yang dihasilkan seratus peratus di Malaysia.
Dalam pada itu, Faiz berkata sehingga kini kutipan untuk empat negara telah melebihi RM19 juta dan dijangka akan terus meningkat apabila ditayangkan di Korea Selatan, sekaligus mampu menjadikan filem BoBoiBoy The Movie selaku filem paling laris dalam sejarah perfileman tempatan.