Nama Beto Kusyairy bukanlah satu nama yang begitu asing dikalangan peminat-peminat wayang terutamanya yang gemar menonton filem-filem mahupun drama-drama Melayu. Ini kerana, Beto merupakan pelakon yang sangat dikenali kerana kualiti lakonannya dalam mana-mana karya yang diterbitkan oleh produksi tempatan.
Antara rahsia yang menjadikan beliau seorang pelakon yang berkualiti ialah pendiriannya dalam memilih skrip yang bagus dalam memastikan beliau berlakon dalam sebuah karya yang berkualiti. Malah selain itu juga, beliau juga selektif dalam memilih produksi yang bakal dia bekerja kerana baginya sangat penting untuk mengelakkan pekara remeh yang kadangkala berlaku diset pengambaran.
“Mungkin apabila kita bercakap mengenai selektif, orang fikir kita bagus sangat. Tetapi itulah cara saya bekerja sejak dulu lagi. Saya terpaksa bersikap memilih kerana tidak mahu terjebak dengan pelbagai masalah remeh di lokasi penggambaran,” – Beto Kusyairi
Tambah pelakon berusia 37 tahun yang sudah berkecimpung dalam dunia perfileman lebih 10 tahun, dia lebih suka bekerja dengan kru produksi yang serius ketika di set penggambaran.
Jelasnya lagi, sekiranya semua tenaga produksi dan para pelakon membuat persedian rapi dan berdisiplin, ia pasti akan memberikan hasil yang terbaik.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Beto tidak sabar mahu menunggu respon daripada penonton mengenai filem terbaru lakonannya berjudul “Bisik Pada Langit”.
Selain Beto, filem arahan Osman Ali itu turut menampilkan barisan pelakon mantap lain seperti Ummi Nazeera, Jalil Hamid dan ramai lagi.
Ia akan menemui penonton di seluruh negara pada 21 September ini.