Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
BeritaSlot Tempatan

Bertindak Segera Dalam Misi Akhir Ejen Ali The Movie!


Primeworks Studios dan WAU Animation mempersembahkan sebuah filem animasi hebat, EJEN ALI THE MOVIE yang akan menguasai pawagam pada 28 November 2019 ini, bersempena dengan musim cuti sekolah. Tayangan perdana filem animasi yang diadakan di pawagam Golden Screen Cinemas Mid Valley Megamall, merupakan filem pertama siri animasi popular TV Ejen Ali yang telah diangkat dari kaca TV ke layar perak atas sambutan hebat penonton. 

EJEN ALI kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dari 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih dari 1.45 juta pengikut di laman rasmi YouTube. Sejak tayangan pertama siri Ejen Ali di Malaysia pada tahun 2016, animasi ini telah menarik minat beberapa stesen media antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 buah negara, termasuk di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

EJEN ALI THE MOVIE mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

Bercakap pada sidang media pada malam tayangan perdana EJEN ALI THE MOVIE, Datuk Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “Kami berharap untuk menutup tirai tahun 2019 dengan mendominasi animasi tempatan di semua pawagam. Tahniah diucapkan kepada Wau Animation di atas karya hebat dan sumbangan mereka yang sekaligus berjaya membawa industri perfileman Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Kami juga berharap agar peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong filem Ejen Ali yang bakal ditayangkan pada musim cuti sekolah yang akan datang.” 


Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, berkata, “Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh peminat tegar Ejen Ali yang sentiasa memberi semangat dan mendorong kami untuk mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem ini. Kami juga berharap agar segala usaha serta keringat yang dicurahkan dalam penghasilan filem ini dapat menjangkaui harapan peminat tegar animasi Ejen Ali.” 

Seiring dengan tayangan filem ini, single pertama runut bunyi bagi EJEN ALI THE MOVIE ‘Bukalah Matamu’ turut dipersembahkan oleh Aisyah Aziz buat julung kalinya di malam tayangan perdana. Lagu hit ini telah dilancarkan pada 20 September 2019 dan mendapat tempat di semua platform siaran digital tempatan. Lirik video yang dihasilkan dan dimuatnaik di YouTube juga mendapat sambutan hangat dan berjaya mencecah 940,000 tontonan sehingga ke hari ini. Lagu tema kedua yang bertajuk “Kita Jaga Kita” nyanyian artis hip-hop tersohor, Altimet bergandingan bersama Cuurley dan Malik Abdullah telah dilancarkan di semua platform digital pada 25 Oktober 2019, diikuti dengan lirik video yang sudah melebihi 600,000 tontonan.

Di samping itu, skor muzik untuk filem ini telah mendapat sentuhan hebat daripada Azri Yunus dan Hakim Kamal, mereka merupakan individu yang terawal menjadi tulang belakang dalam pembikinan siri animasi Ejen Ali. Primeworks Studios dan Wau Animation juga turut mengumumkan kolaborasi bersama penaja utama filem EJEN ALI THE MOVIE iaitu Tenaga Nasional Berhad disertai rakan penaja Mydin dan Pediasure yang berganding bahu bagi menjayakan kempen pemasaran serta siri jelajah bersama. Siri penjelajahan ini akan bergerak ke seluruh negeri antaranya Lembah Klang, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Terengganu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Bersempena dengan tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE, produk-produk jenama terbaru Ejen Ali turut diperkenalkan antaranya ialah mandian kanak-kanak Carrie BacBuster, kelengkapan sekolah, alat-alat permainan, makanan ringan dan sebagainya. Produk-produk ini akan dipasarkan di beberapa pusat membeli-belah seperti, Mydin, Parkson, AEON dan lain-lain lagi. Bagi menghangatkan lagi keseluruhan promosi filem, portal xtra.com.my turut menganjurkan peraduan Trivia Ejen Ali: Misi Trivia yang akan diadakan di laman utama xtra iaitu, www.xtra.com.my/ejenali.

Peraduan ini akan bermula pada 29 November 2019 dari jam 12.30 tengah hari hingga ke jam 12.45 tengah hari (selama 15 minit), setiap hari. Peserta berpeluang memenangi hadiah harian dan 3 hadiah utama, termasuk sebuah telefon pintar Huawei. Aplikasi permainan telefon pintar, Ejen Ali Emergency yang boleh didapati di Play Store dan Apple App Store telah dinaiktaraf menerusi mod Misi: The Movie, iaitu tahap baru yang akan dilancarkan pada awal bulan Disember. Melalui mod terbaru itu, pemain sebagai Ejen harus menyelamatkan Datuk Bandar Cyberaya daripada bahaya menerusi misi 4 peringkat dengan membawa peranan Ejen yang berlainan (Ali, Alicia atau Bakar), untuk mengalahkan musuh di setiap peringkat. Dengan kerjasama Media Prima Digital, ‘Ejen Ali: Agents’ Arena – permainan MOBA (multiplayer online battle arena) pertama di Malaysia yang diciptakan berdasarkan siri animasi ini akan dilancarkan di sebelum pertengahan tahun 2020.

EJEN ALI THE MOVIE dikuasakan oleh Tenaga Nasional Berhad, bakal melancarkan misinya di 160 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 28 November 2019.


Related posts

Artis Terkenal Kim Jung Gi Meninggal Dunia Pada Usia 47 tahun

Kakimuvee

Lady Gaga Anggap Lagu Untuk “Top Gun: Maverick” Sebagai ‘Surat Cinta Kepada Dunia’

Kakimuvee

Bintang MCU, William Hurt, Meninggal Dunia Pada Usia 71 Tahun

Kakimuvee

CARTOON NETWORK RAIKAN HARI KUCING ANTARABANGSA!

Kakimuvee

Review: Zombitopia (2021)

Kakimuvee

Keluarga Addam Bersedia Untuk Bercuti Dalam Poster Terbaru “The Addams Family”

Kakimuvee