Sebelum ini pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang dia lebih selesa mengarah filem atau dokumentari sahaja kerana dia mempunyai kebebasan untuk berkarya berbanding arah telefilem atau drama yang perlu memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan oleh pihak tertentu.
Namun, kini semuanya berubah apabila Pekin bakal muncul dengan telefilem sulungnya berjudul “Bayangan Emilia”.
Menurut pengarah “Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit” ini, dia berkata dia terpaksa mengambil alih tugas sebagai pengarah daripada Raja Mukhriz.
“Ikutkan saya memang tidak mahu mengarah program untuk siaran TV. Begitupun, saya menerima tawaran untuk mengarahkan telefilem ini kerana Raja Mukhriz.
“Sepatutnya dia yang mengarahkan “Bayangan Emilia”. Namun berikutan jadual kerjayanya yang bertindih, maka ia terpaksa dilepaskan. Saya boleh diibaratkan seperti ‘kena buat’ kerja pengarahan ini,” ujarnya kepada BH Online.
Pekin bagaimanapun berkata dia akan menghasilkan naskhah telefilem ini sama seperti sebuah filem.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pemilihan pelakon Fattah Amin sebagai peneraju telefilemnya, Pekin mempunyai alasannya tersendiri biarpun pernah dilabel lakonannya ‘kayu’.
Tambahnya, Fattah seorang pelakon yang baik namun dia kurang pengalaman jadi dia yakin Fattah mampu dibentuk untuk menjadi seorang pelakon yang bagus namun ia semua terpulang kepada pengarah untuk membentuknya.
Pada masa sama, Pekin juga berkata pengarah sepatutnya berbincang mengenai lakonan yang dimahukan dan bukannya membiarkan pelakon itu berlakon sesuka hati.
Sementara itu, Pekin juga memuji sikap Fattah yang berdisiplin dan sedia menerima tunjuk ajar demi kebaikannya.