Pada Januari yang lalu, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Bad Robot dan Warner Bros. akan membangunkan sebuah projek yang melibatkan kumpulan superhero DC iaitu Justice League Dark.
Kini laporan terbaru mengesahkan projek tersebut, dan ianya akan dibuat dalam bentuk siri televisyen untuk HBO Max. Variety melaporkan bahawa perkhidmatan streaming HBO Max telah memberikan komitmen produksi untuk drama yang akan berdurasi satu jam itu.
J.J. Abrams yang memiliki Bad Robot akan bertindak selaku penerbit bersama-sama Ben Stephenson dan Rachel Rusch Ricj.
Pasukan Justice League Dark pertama kali diperkenalkan pada tahun 2011, dan sebuah filem live-action hampir sahaja diterbitkan dengan pengarah Guillermo del Toro dinama sebagai pengarah untuk filem tersebut. Namun, perancangan filem live action itu tergantung. Bagaimanapun, sebuah filem animasi telah diterbitkan pada 2017 dan bakal menerbitkan sekuel.
Setakat ini butiran lanjut mengenai siri televisyen Justice League Dark masih belum diketahui.